Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..
Ketika ini, jutaan manusia daripada seluruh pelusuk dunia mula datang dan berkumpul di suatu perhimpunan tahunan terbesar yang pernah direkodkan dalam sejarah manusia. Perhimpunan terbesar itu bukan sahaja bagi memenuhi taqwim acara tahunan dunia, malahan ianya adalah berkait rapat dengan satu ibadah yang menjadi rukun terakhir dalam Rukun Islam iaitu Haji.
Haji adalah merupakan salah satu dari hukum Islam yang lima yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim, lelaki dan perempuan apabila cukup syarat-syaratnya. Menurut jumhur ulama', fardhu haji mula diwajibkan pada tahun ke enam Hijrah kerana pada tahun itulah turunnya wahyu Allah yang bermaksud:
"Dan tunai atau sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah"
(Surah Al- Baqarah ayat 196)
Dalam pada itu Ibnul Qaiyim menguatkan pendapat bahawa mulai diwajibkan haji itu ialah pada tahun ke sembilan atau ke sepuluh Hijrah. Sesiapa yang menafikan hukum wajib haji itu maka bererti kufur dan murtadlah ia dan terkeluar dari Agama Islam.
Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:-
"Dan menjadi kewajipanlah bagi manusia terhadap Allah untuk mengunjungi rumah itu bagi yang sanggup berjalan diantara mereka. Dan barang siapa yang mengingkarinya, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari sekalian alam"
(Surah Ali Imran ayat 97)
Pada saat ini, rombongan jemaah Haji mula berarak ke Arafah bagi melaksanakan rukun Haji yang utama iaitu Wukuf. Wukuf ertinya berhenti atau berdiri. Dalam pengertian yang lebih jelas, Wukuf ialah menghadirkan diri di padang Arafah pada masa antara zohor hari 9 Zulhijjah hingga sejurus sebelum fajar 10 Zulhijjah. Pada tarikh berkenaan iaitu 9 Zulhijjah, adalah disunatkan bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah Haji pada tahun itu untuk berpuasa sunat kerana terdapat banyak kelebihan pahala yang diganjarkan oleh Allah Swt.
Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah Radhia Allah ‘anhu bahawa Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :
“Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”.
Hadis ini jelas bahawa terdapat kelebihan dalam melakukan ibadah puasa pada Hari Arafah. Pada hari yang berkenaan juga, pintu - pintu langit akan dibuka dan setiap doa pasti akan dimakbulkan oleh Allah Swt. Maka, marilah kita bersama - sama merebut peluang yang hanya datang setahun sekali ini untuk melakukan ibadah puasa sunat dan seterusnya memperbanyakkan doa ketika berlangsungnya Hari Arafah atau pun Hari Wukuf kerana pada waktu berkenaan, terdapat banyak kelebihan dan hikmah yang telah dijanjikan oleh Allah Swt.
Wallahualam..