Showing posts with label : : cerpen : :. Show all posts
Showing posts with label : : cerpen : :. Show all posts

KISAH SEBIJI NANGKA : TIADA KEJAYAAN TANPA USAHA YANG GIGIH


Kampung itu sungguh sunyi sewaktu kebanyakan orang kampung telah pun keluar untuk mencari nafkah. Salmah melihat ke arah sebiji buah nangka besar yang telah pun hitam di bawahnya. Ulat- ulat sudah mula menyerang. mungkin dia boleh menyelamatkan separuh nangka itu yang masih elok. dia boleh mendapat RM8 jika dijual di tepi jalan. Orang tengah hanya akan membayar RM3 untuk buah itu. Dia akan mendapat keuntungan yang lebih jika menjualnya sendiri namun itu bermakna dia perlu duduk dan tidak dapat melakukan apa- apa di gerai sepanjang hari.

” Bang! ” Dia memanggil suaminya, Junid. ” Abang senang tak hari ini? ”. Junid menghalakan mata ke arah isterinya dengan agak malas sambil menghisap rokok daunnya. Dia menghembus asap itu keluar.

” Kenapa? ” Dia tersenyum. Salmah merasakan kemarahannya meluap. Silap - silap dia boleh terkena serangan jantung dengan memendam perasaannya.

” Tolonglah tengok- tengokkan gerai tu! ” Dia menjerit ke arah suaminya dengan jengkel.

Junid membuang pandangannya sambil berkata, ” Kenapa tidak awak saja yang buat? ”.

” Saya buat semua tu kalau abang tolong basuhkan pakaian dan keringkan biji koko tu, ” jawab Salmah.

Junid menghisap rokoknya sekali lagi sebelum turun dari tunggul pokok mati tempat dia duduk berehat. dia melerai dan mengikat kembali ikatan kain sarongnya sambil berkata, ” Yalah, aku pergi buatlah. ”

Ketika dia berjalan menuju ke gerai, isterinya menjerit kepadanya, ” Jangan berlenggang saja di sana! Ambil nangka tu dari pokok kemudian potong- potong. Letak dalam beg plastik sebelum awak jalan. Awak tahu kan yang orang- orang bandar tu tak suka tangan mereka terkena getah nangka sewaktu makan buah nangka. ”

Salmah mendengus sewaktu memikirkan tentang orang- orang bandar yang kaya raya. Suatu hari nanti, dia akan ada kereta dan tak perlu lagi bersusah payah bekerja. Tetapi suaminya tak pernah membantunya. Suaminya agak lembab dari segi mental dan tidak tahu bagaimana hendak mengira duit. Mujur anak perempuan mereka mendapat biasiswa dan akan mendapat ijazah sebagai seorang jurutera kelak. Salmah akan menjual sebahagian daripada tanah yang ditinggalkan oleh ibunya untuk membayar wang pendahuluan bagi membeli sebuah rumah dan kereta untuk anak perempuannya. Kemudian dia akan dapat bersenang lenang. Tetapi dia tidak akan membiarkan suaminya, Junid terlalu bebas, kerana yang anehnya, anak perempuan mereka lebih menyayangi ayahnya berbanding dengan Salmah.

” Oooh! ” Pekik jirannya, Minah dengan membuat bunyi seperti monyet menjerit. Bunyi itu menarik perhatiannya. ” Selamat pagi Kak Minah, ” sapa Salmah dengan sopan sambil meletakkan pakaian- pakaian kotor ke dalam air sabun. Minah bertanya tentang sesuatu yang telah pun jelas, ” Basuh baju? Lambat hari ni.”

”Aah, ” jawab Salmah. ” Saya perlu habiskan semuanya ni dan perlu pergi tolong Junid jaga gerai. Dia tu tak tahu nak tukarkan wang RM5. Kalau tukar wang RM10 dia boleh, tapi entah macam mana kalau RM5 tak boleh pula. ” Minah ketawa. ” Pasal tu Abang Junid dapat awak, ” dia berkata dengan penuh girang.

Ketika Salmah menyidai pakaian di atas batang bambu, Junid datang dengan bersahaja. Dia membasuh kakinya dengan air dari tempayan di bawah tangga. Dia menggoyang- goyangkan kakinya dan kemudian naik ke beranda rumah kecil kayu mereka lantas duduk. Dia sedang membetulkan kain sarong yang terletak diantara kakinya sewaktu Salmah menjerit ke arahnya, ” Kenapa awak balik awal sangat ? ”.

Junid dengan pantas menjawab, ” Saya dah habis jual semua. ”

” Duitnya mana? ” tanya Salmah. Junid membuka gulungan kain sarongnnya dan mengeluarkan beberapa keping tiket loteri.

” Seorang perempuan bagi dengan saya semua ini untuk nangka tu. Keputusannya keluar esok. ” Jawab Junid sambil berbaring ke sisi untuk tidur.

” Awak ni bodohlah...” kemudian Salmah berasa agak sangsi. Ini mungkin perempuan yang bertuah. Mungkin ini hari bertuah mereka.

Malam itu, Salmah tidak dapat tidur. Dia tidak sabar menunggu matahari untuk terbit dan keputusan cabutan tiket bertuah diumumkan. Sewaktu dia mendengar siaran radio, dia mendengar juruhebah mengumumkan, ” Tiket yang menang ialah 390 004 218. ” Itu nombor mereka. Mereka menang! Salmah akan dapat rumah dan keretanya lebih awal dari yang disangkakannya. Kemudian juruhebah itu menyambung, ” Pemenang boleh datang ke pejabat kami untuk menuntut basikal percuma. Terima kasih kerana mengambil bahagian di dalam cabutan amal ini.” Salmah memandang Junid, dan perlahan wajahnya menjadi marah.
SEKIAN.

AWAK SUDI JADI ISTERI KEDUA SAYA? www.iLuvislam.com serunaiklang_91 editor : everjihad

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tegas dan yakin.
Tiba-tiba mata Fulanah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.
"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fulanah dengan suara tersekat-sekat.
Mata Syazni liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fulanah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fulanah langsung tidak selari dengan penampilannya.
"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… " Fulanah mula sebak.
"Tak. Maksud saya…"
"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fulanah dengan kasar.
"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fulanah semakin tinggi, setinggi egonya.
Syazni diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fulanah' di sebalik Fulanah yang dia kenal selama ini. Fulanah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Syazni seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Syazni muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

"Ada hikmah," bisik hati kecil Syazni, sekecil pandangannya terhadap Fulanah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Syazni sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Syazni berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah, Syazni dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama.



Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fulanah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Syazni. Bagi Fulanah, Syazni seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Syazni melamarnya menjadi isteri kedua. Syazni masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fulanah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fulanah, namun sikap Fulanah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Syazni tersebut.

Bagi Fulanah, Syazni tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Syazni berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Syazni semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Syazni – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Syazni.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Syazni dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Syazni sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Syazni menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fulanah atau tidak? Syazni bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Syazni berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya.

Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Syazni mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fulanah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tanpa segan silu.

"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.

"Er, betul ke ni?" tergagap Syazni menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Syazni.


"Kenapa saya?" tanya Syazni ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Syazni tersenyum.
Akhirnya, Syazni dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Syazni terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Syazni semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Syazni membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Syazni. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.
"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.
"Ye sayang?" jawab Syazni sambil memandu.
"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.
"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Syazni menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.
"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.
Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Syazni dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Syazni yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Syazni aktif dalam dakwah sebelum ini.
"Kita dah sampai," Syazni membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya.
Syazni berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.
"Itu isteri pertama abang," Syazni menuding jari ke arah khemah tersebut
"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Syazni.
"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.
"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.
Syazni tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.
"PERJUANGAN, " jawab Syazni.
***************



Sedarlah semua wahai muslimah serikandi dan perwira Islam ... kalian akan dimadukan!
Jika dirimu bakal seorang isteri…
Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan, bahkan anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini tetapi anda adalah bakal isteri kedua kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam!
Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan…
Kehadiran dirimu adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan islam bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu. Janganlah jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga diri \mu dengan terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan islam!
Jika dirimu bakal seorang suami…
Terimalah bahawa anda bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya atau insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu! Bahkan dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya, kerana suami yang pertama baginya ialah perjuangan islam dan memartabatkannya.
Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai islam dan memperjuangkan islam. Jika dirimu tidak sedemikian, sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam sanubari isterimu…

Bantulah isterimu atau suamimu dan kuatkanlah dia untuk meneruskan perjuangan islam ke serata dunia!!Takbir ! Allahuakbar!


Sumber : penditamuda.blogspot.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...