AKU GURU, GURU AKU

Banyak teman dan rakan yang tak kurang sinisnya bila ku beritahu bahawa aku sedang menuntut di maktab ( sekarang IPG ).. Mereka tak berkata, tapi bahasa mata dan bentuk senyumannya ku nampak jelas mengata..apalah sangat menjadi guru..belajar 5 tahun lebih pulak tu..tapi ku cuma senyum diam seribu bahasa..bagi ku tak mengapa..mungkin ku tak sehebat kamu yang gah belajar di universiti ternama..mungkin ku nanti cuma mengajar di sekolah usang di dalam hutan sana..tak apalah..siapalah diriku banding kamu..yang kerjanya menanti di tempat mewah dan indah..yang nama profesionnya sampai ku sendiri gerun tak tahu..siapalah aku..yang gajinya cuma cukup makan beli kereta dan rumah pinjam..Tapi, jujur ku bangga..kerana aku berada di dalam jalan yang hakikat nya menuju syurga..kerana aku berada dalam segolongan manusia yang Rasulullah sebut tak berhenti pahalanya akibat ilmu yang disebar..bagi ku, siapalah yang tidak mahu gaji mewah, rumah besar, kereta hebat..namun, rupanya bukan itu misi kita bekerja..kerana bekerja itu ibadah..ibadah yang terbaik itu ialah sederhana tapi istiqomah..dan pastinya guru itu istiqomah kerana mengajar dari muda hingga ke tua renta..guru itu bukan kerana nama, tapi kerana tugasnya..apalah makna dipanggil guru, andai tugasnya pincang tak bekerja..guru itu bukan kerana harta, tapi kerana berkahnya..apalah makna bergaji mewah tapi kerjanya bercampur haram dan dosa..guru, mungkin sesetengah anggap remeh dan lewa tapi hakikat impaknya besar tak terlihat di mata..hadir nya guru mencerah jalan menuju syurga..tibanya guru mendidik akhlak penuh hikmah..datangnya guru merungkai masalah ummah..adanya guru kerana menyambung tugas rasul berdakwah..hidupnya bukan kerana dek pujian, dan matinya pasti bukan kerana dek kejian..hidup selamanya guru..penyinar alam dari penjuru dunia hingga ke pintu syurga..

MUTIARA KATA

Apalah maknanya bulan yang bersinar gemerlapan,andai latarnya bukan gelap malam yang kelam..apalah ertinya terang siang,jika matahari pun tidak mampu dipandang..
apalah gunanya biru lautan yang indah,andai tiada langit memantul warnanya yang cerah..setiap kejadian diciptakan berpasang-pasangan..saling bergantungan..biarpun kelihatannya saling berlawan tapi itulah sunnatullah Tuhan..kehidupan tanpa dugaan,ibarat gulai tanpa garam..tawar,tak terasa kesedapan..
dugaan yang datang bukanlah bermakna kita perlu tunduk pada kekecewaan dan menangis kesakitan..tapi perlulah dihadapi dengan langkah tegap penuh keyakinan dan senyuman tanda kematangan..

SABAR

Kesihatan yang semakin merosot minggu ini..perut meragam,tonsil tak hilang,demam menyerang,hilang berat jadi keding....Memang berat dugaan kali ini Ya Allah...
Published with Blogger-droid v1.7.2

SUDAH TERLEWAT

SEMUANYA SUDAH TERLEWAT.......HATI INI SUDAH RETAK BERPECAH......TAK BISA LAGI DICANTUM SEMULA......ANDAI TETAP JUGA DIPAKSA, BIASNYA TAKKAN LAGI SEKATA SEPERTI DAHULU KALA.......MAAF.........KERANA SEGALANYA SUDAH TERLEWAT............

PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 1432H

Assalamualaikum wbt kepada semua pembaca blog yang dirahmati Allah..Pada pagi 1 Syawal ini,saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan atas kekhilafan dan kesilapan diri ini sepanjang perkenalan kepada semua sahabat - sahabat sekalian..Sesungguhnya dengan bermulanya 1 Syawal pada hari ini,maka bermakna kita telah pun meninggalkan Madrasah Ramadhan yang dirindui dan mula melangkah ke dalam bulan Syawal yang dirai sebagai tanda kemenangan setelah sebulan berpuasa..Pada hari ini,semua umat Islam seluruh dunia diibaratkan seperti baru dilahirkan semula dalam keadaan fitrah iaitu suci daripada dosa- dosa setelah melalui tarbiyah dan tazkiyah dalam Madrasah Ramadhan yang lepas..A'la kulli hal,mohon maaf sekali lagi kepada semua dan diharapkan Syawal ini memberikan seribu pengertian kepada kita..Taqabballahu minna wa minkum fataqqabal ya kareem..Minal aidil wal faizin..
Published with Blogger-droid v1.7.2

DARI JAUH KU POHON MAAF



Maafkan aku ibu........
Aku pergi tak kembali lagi...
Membawa hajat yang tidak mampu ku sudahi...
Tapi ku pasti jika punya kesempatan diberi...
Andai punya nyawa yang bisa ku pinjami...
Aku pasti bermati - matian berbakti....
Buat mu ibu yang ku sayangi...........

Maafkan diriku duhai kasih.....
Aku pergi meninggalkan dirimu sendiri...
Bukan pintaku begini...
Namun ku yakin ada hikmah tersembunyi...
Kenanglah daku dalam doa mu setiap hari....
Kerana biarpun terpisah oleh alam yang infiniti...
aku pasti tetap menanti mu disini....

HIMPUNAN KATA DALAM INGATAN

Ujian itu sebuah kepahitan yang menyembuhkan..
Keikhlasan itu bukan terletak pada kata - kata yang lahir tetapi pada bisikan hati yang tulus....
Penantian itu sesuatu yang menyeksakan andai penantian itu tidak disertai dengan doa dan penggantungan harapan kepada Allah...
Wamakaru wamakarallah...wallahu khairul makirin.....yakinlah setiap yang berlaku itu atas kemahabijaksanaan Allah yang merancang dan mengatur jalan takdir hidup kita...
Hati manusia itu dicipta agar mudah tersentuh tetapi tidak rapuh...kerapuhan hati menandakan hati akan mati...hati yang mati mengundang syaitan mendiami..basahi hatimu dengan mengingati Allah dan mengingati mati..orang mukmin yang bijak itu adalah mereka yang selalu mengingati mati...
pahit maung yang ditempuh sepanjang perjalanan kehidupan,menjadikan kita tetap pendirian dan matang dalam membuat pilihan...
Usah bersedih jika takdir hidup seakan tidak menyebelahimu..yakinlah bahawa Allah tidak pernah menzalimi mu..malahan Allah mungkin sedang menyediakan sesuatu yang hebat untukmu..bersabar dan bersyukurlah...kerana Allah sedang prihatin dan sayang pada mu...
Mengingati makhluk melebihi daripada mengingati Pencipta yang Maha Agung akan menjadikan akal tumpul,hati mati,iman susut dan nafsu bergelojak...
Tiap titis airmata yang tumpah bukan kerana takutkan Allah sebaliknya kerana perkara maksiat,di akhirat kelak akan menjadi pemarak api neraka...ibarat api yang disiram minyak...menjulang dan membakar tubuh si manusia ingkar...
Kegagalan bukan erti penamat bagi sebuah ujian..tetapi merupakan sebuah permulaan bagi suatu kejayaan yang tertunda...
Renung dan kenanglah setiap nikmat Tuhanmu...nikmat Tuhan mu tidak pernah putus biar sesaat dan tidak pernah putus ketika dirimu sesat...malulah wahai insan pada Pencipta mu...buka hati dan iman mu..letakkan akalmu melebihi nafsumu agar ianya terdidik dan terkawal selalu...


*himpunan kata diatas muncul berturutan beberapa malam yang lepas. Selepas lama tidak aktif menulis, akhirnya idea itu terkeluar juga.. syukur Alhamdulillah kepada Allah yang memberikan ilmu dan ilham..*
Ujian,
datang dan pergi,
meninggalkan aku sendiri,
meratapi nasib diri,
yang lemah dan tak daya berdiri,
akibat terpukul dengan ujian Ilahi,
yang pastinya datang menghampiri,
kepada insan - insan yang sentiasa dilanda onak duri perjuangan di dunia fana ini.

Lemah,
hanya itu kalimah yang terkeluar dari lidah yang tak bertulang,
bukan beerti ku lemah tak mampu berjuang,
namun ku cuma insan biasa yang gering,
gering dengan iman yang kontang dan kering,

Harapan,
semoga Allah terus memberikan kekuatan,
agar aku terus dapat bertahan,
menghadapi ujian dan cabaran.
yang terusan datang tak beri amaran,
yang terkadang memukul tanpa belas kasihan,
sehingga diri ku terbaring tak mampu menahan.

Hanya pada Mu Ya Allah ku pohon,
pertolongan dan bantuan,
teruskan memberi limpahan kasih dan belaian iman,
buat diri ku Si Pemuja Mu, Wahai Tuhan yang Maha Mendengar dan Melihat rintihan hambaNya yang kelemahan....


XPDC 30 HARI MENCARI CINTA

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Alhamdulillah, hari nie dah masuk hari ke 24 kita berada dalam Ramadhan Muabarak. Maknya, kita sudah pun memasuki fasa terakhir dalam bulan ini dan telah pun berada dalam hari - hari akhir yang dijanjikan lebih baik daripada seribu bulan.

Pertanyaan saya buat diri terutamanya dan kawan - kawan amnya, berapakah nilai puasa kita pada tahun ini?Adakah masih sama seperti tahun - tahun yang lepas?Apa yang telah kita lakukan bagi menambahnilai puasa kita tahun ini?

Jujurnya, saya sendiri masih merasakan puasa tahun ini bukanlah puasa terbaik saya. Masih terlalu banyak lompang disana sini rasanya. Lebih - lebih lagi, tahun ini merupakan tahun pertama saya berpuasa diluar lingkungan keadaan biasa saya. Alhamdulillah..setakat hari ini, setiap malam saya masih dapat setia berdiri melakukan terawih kecuali malam semalam akibat uzur sakit. Saya tak mampu nak berdiri lama dan hanya mampu berbaring di katil. Syukur alhamdulillah, keadaan itu tidak berpanjangan. Jika tidak mungkin akan lebih banyak hari yang saya tertinggal melakukan terawih dan tidak mustahil puasa saya juga akan terjejas.

Tahun ini, saya hanya bersendirian ke masjid. Tidak terasa kemeriahannya berterawih bersama rakan - rakan seperjuangan seperti masa - masa lalu. Namun, saya tetap bersyukur kerana masih lagi punya kesempatan untuk melaksanakannya memandangkan ini merupakan Ramadhan terakhir saya. InsyaAllah, saya akan tetap cuba menghabiskan XPDC 30 Hari
Mencari Cinta ini dengan sebaiknya..Alhamdulillah, saya turut diberi peluang menjadi imam terawih ketika berada di sini. Suatu penghargaan yang saya tidak jangkakan sehingga orang - orang kampung sangka saya nie ustaz sekolah ( ?? ) padahal hakikatnya, teramat jauhlah untuk saya dapat gelaran mulia itu. Saya hanya seorang guru biasa sahaja.

Tentang perkara - perkara yang berlaku sepanjang Ramadhan nie, memang macam - macam yang terjadi. Ada suka, terbanyak duka, terkadang gembira, malahan tegang tapi keseluruhannya saya masih mampu menghadapi dan memikulnya, Alhamdulillah. Saya anggap itu semua sebagai ujian dan mehnah dalam bulan puasa ini. Adalah sangat tidak matang sekiranya saya terduduk dan tidak mampu berdiri bilamana dapat ujian - ujian seperti itu sedangkan saya pernah diuji dengan ujian yang lebih hebat lagi. Semoga Allah terus memberikan kekuatan kepada saya hingga ke akhirnya..Amin..

Akhirnya, saya ingin menyusun sepuluh jari memohon kemaafan kepada semua yang mengenali diri ini terutamanya kepada ibubapa saya, ahli keluarga, sanak saudara, teman - teman seperjuangan, sahabat - sahabat sehidup semati, rakan - rakan sepermainan, insan istimewa ( ? ), murid - murid yang disayangi dan semua umat Islam seluruh dunia yang mengenali diri ini. Maaf dan maaf. Sesungguhnya diri ini adalah insan yang dhaif dan lemah, senantiasa melakukan kesalahan sama ada sengaja atau tidak. Sekiranya ini Ramadhan yang terakhir, saya berharap agar ianya menjadi Ramadhan yang terbaik bagi saya dan sekiranya Allah masih memberikan kesempatan untuk bertemu dengan Ramadhan akan datang, semoga Ramadhan itu lebih baik dari sebelumnya.


Salam Kemaafan Dariku...
ASRAN OMAR
PARIS

DOAKU

Ya Allah.......Semoga tiada hati - hati yang berubah...Allahumma Amin....Aminnn....
Published with Blogger-droid v1.7.2

Bab 1 : Sebuah Lembaran Baru

Tengahari itu, seusai sahaja makan dan solat Zohor, Imran menghempaskan tubuhnya di katil. Tubuhnya terasa begitu lemah. Sengalnya terasa hingga ke tulang. Imran melepaskan satu keluhan yang kuat, seakan ingin melepaskan bebanan yang begitu besar dan berat yang ditanggungnya sekian lama. Buku LA TAHZAN karangan Dr. Aidh dicapainya dari meja yang terletak disebelah kanan katilnya. Buku itu dibukanya perlahan. Serentak dengan itu, bau haruman buku menerjah hidungnya. Imran memang suka dengan bau buku. Setiap kali menghidu bauan helaian buku yang dibuka, terasa dirinya begitu teruja untuk membaca. Semangatnya pasti akan memanggil - manggil, menarik hatinya bagi meluangkan masa untuk membaca sekalipun punya masa yang singkat atau disaat dia kelelahan selepas seharian bekerja.

Perlahan matanya dihalakan pada halaman pada halaman 31. Matanya sebaris ayat Quran yang diletakkan pada halaman tersebut.

".....tidak sekali kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami..." ( At Taubah : 51 )

Imran merenung ayat tersebut berulang kali. Sukmanya terasa sendat dan hangat merenung ayat tersebut. Dia merasakan betapa bertuahnya menjadi seorang muslim kerana punya mukjizat agung seperti Al Quran. Ayat - ayatnya biarpun ringkas namun begitu padat dengan mesej yang ingin disampaikan oleh Allah kepada manusia. Mudah difahami, dan bisa sahaja membuatkan hati tertunduk mengaku kebesaran Allah SWT. Imran meletakkan buku tersebut menelangkup di dadanya. Dia terkenang betapa banyaknya ujian dan dugaan yang dihadapinya sejak menghabiskan pengajiannya Disember tahun lepas, sehinggalah mendapat tawaran untuk bertugas sebagai guru di sebuah sekolah rendah di kawasan luar bandar di daerah Kinabatangan 3 bulan lepas.

Satu - satu ujian dan dugaan dihadapinya. Ada yang besar, ada juga perkara yang remeh - temeh sahaja. Namun, yang pastinya semuanya itu membuatkan Imran kelelahan dan hampir - hampir membuatkan dirinya jatuh terduduk. Lama rasanya terkapai - kapai sendirian. Ditambah lagi dengan kesibukannya bekerja sambilan sepanjang tempoh menunggu surat tawaran dari Kementerian Pelajaran Malaysia. Bekerja selama 7 hari seminggu, 10 jam sehari menyebabkan dirinya begitu kelelahan. Bekerja di pasaraya sebagai pekerja sambilan memerlukan dia memerah tulang empat keratnya bersungguh - sungguh kerana gaji yang dibayar adalah mengikut hari bekerja.

Imran mengubah kedudukan baringnya. Buku La Tahzan diletakkan semula di atas meja sebelahnya. Imran kini berbaring mengiring menghadap ke arah pintu biliknya. Dia hanya bersendirian di rumah sewanya. Dua lagi teman serumahnya masih lagi berada di sekolah. Kedua - dua teman serumahnya itu memang sentiasa sibuk dengan pelbagai hal di sekolah. Idham - merupakan seorang guru baharu seperti Imran, berasal dari Kelantan memang suka balik lewat kerana menyelesaikan tugasan - tugasannya di sekolah. Rahmat - seorang juruteknik komputer di sekolahnya pula memang bekerja 'office hour'. Jadi sememangnya pada jam yang baru sahaja menjangkau pukul 2.30 petang, Rahmat masih lagi bertugas. Imran masih lagi termenung. Fikirannya melayang - layang. Tubuhnya keletihan selepas penat mengajar pada sebelah pagi tadi hingga ke tengahari, namun matanya begitu liat untuk dipejamkan.

Mata Imran baru sahaja ingin terpejam, tiba - tiba terdengar suaranya dilaung dari luar. Imran bingkas bangkit lalu bergerak ke arah pintu rumah....................

*bersambung....

LAYAK?

Ketika ENGKAU mengilhamkan mengenai si DIA,
AKU tertunduk membisu,
Layakkah AKU menjadi pendampingnya?
Layakkah AKU menjadi teman seumur hidupnya?
LAyakkah AKU menjadi seorang suami baginya?

AKU cuma seorang manusia biasa,
cuma seorang hamba yang penuh noda,
cuma seorang lelaki yang penuh kekurangan dan kelemahan..
Apakah mungkin AKU bersamanya?
Apakah AKU mampu memilikinya?
Hatiku resah dan bingung memikirkannya..
Bantulah AKU wahai TUHAN..
Berikan AKU kekuatan, agar bisa menjadi setara dengannya...
Semoga DIA sudi menerima AKU seadannya..
AMIN YA RABBAL ALAMIN
YA QODHIAL HAJAT

AKU PUNYA CERITA

Assalamualaikum wbt..

Alhamdulillah, hari ini aku diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk meluangkan sedikit masa di ruangan nie..sudah hampir sebulan lebih aku tidak menulis..terasa sangat sibuk dan punya masa yang agak singkat..tetapi mujur hari ini, aku punya kekuatan lebih untuk menulis sedikit..

Bagi pengetahuan sahabat - sahabat sekalian, aku sekarang nie sudah pun mula bertugas di sekolah. Sekolah aku nie memang jauh sangat....di PARIS....huhu..jauh tuu...hehe...dan Alhamdulillah, ketika ini aku sudah pun bergelar graduan secara rasminya sejak bulan Mac yang lepas. Konvokesyen untuk batch aku dibuat di PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE...jangan terkejut..memang sangat jauh tapi apa boleh buat..sudah ditetapkan oleh kementerian..

Erm...rasanya setakat ini dulu...aku berazam untuk cuba sentiasa mengemas kini blog aku nie agar ianya tidak berusang dan bersawang...huhu....insyaAllah...doakan agar aku sentiasa kuat ye... T.T

............TIADA SELAINNYA..............

Ya Allah...
berikan aku kekuatan dan ketenangan..
di kala ini daku tersangat memerlukan keduanya..
daku begitu lemah..
begitu longlai..
begitu lesu..

Saat ini ku memerlukan pelukan MU
waktu ini ku mendambakan dodoian kasih sayang MU
peluklah daku..
dodoilah daku..

Ya Allah..Ya Hayyu Ya Qayyum..
dengan rahmat Mu daku memohon pertolongan..
Kau baikkanlah urusan ku keseluruhannya..
janganlah biarkan ku berpaut kepada diri sendiri barang sedikitpun..

Maha Suci Allah dengan kemuliaanNya..
tidak ada tuhan yang disembah selainNYa..
kepada Nya daku bertawakkal..
dan Dialah Pemilik Arasy yang mulia...

tiap detik,
tiap saat,
tiap minit,
tiap jam,
tiap ketika,
Rahmat dan Maghfirah Mu tidak pernah luput..
sekalipun ku acapkali melalaikan perintahMu..
ampuni daku dan kasihanilah daku..
hanya kepada MU aku memohon..
kerana Engkaulah sebaik - baik tempat memohon...

Badai ujian datang lagi..
membanting tubuhku..
melemparkannya kelesuan di pantai kehidupan..
sungguh..
tubuhku benar - benar hampir remuk..
hingga membuatkan daku terduduk menahan keperitan dan kesakitan..
Ya Allah Ya Rahman..
daku sungguh memerlukan..
penawar bagi kesakitan ini..

tidak ada lagi kata - kata mampu ku madahkan
tidak ada lagi ucapan mampu ku simpulkan..
lidah ku kelu..
bibir ku lesu..
hati ku beku..
akal ku bisu..
yang tinggal hanya rintihan sayu..
secebis iman nan nipis yang masih menempel di dinding kalbu..
daku memerlukan Mu..
sangat memerlukan Mu..
amat memerlukan Mu..
ampunilah daku...
janganlah tinggalkan diriku..
duduk keseorangan..
menanggung kesedihan, kesunyian, kesepian dan keputusharapan tentang kehidupan..

Ya Allah
Ya Allah.
Ya Allah..
Ya Allah...
Ya Allah....
Ya Allah.....
Ya Allah......

bantulah daku
.bantulah daku
..bantulah daku
...bantulah daku
....bantulah daku
.....bantulah daku
.......bantulah daku

..aku sujud penuh kehambaan..
..aku sujud penuh pengabdian..
..aku sujud penuh pengharapan..
..aku sujud penuh kerendahan..

Allah............................................Allah



KINABATANGAN?!

Assalamualaikum wbt..

Hari Rabu yang lepas, aku telah pun mendapat suatu berita yang selama ini aku tunggu - tunggu sejak menamatkan pengajian November lepas. Ceritanya awal pagi tu, sahabat aku call dan beritahu tentang 'perkara' tu. Dia nampaknya suka dengan berita yang dia dengar. Jadi tanpa berlengah lagi, aku pun dail la nombor yang diberi tu untuk dengar mengenai 'perkara' yang sahabat aku beritahu tadi.

Malangnya, sejak pagi hingga ke tengahari, telefon aku tak bersambut. Aku pun apa lagi, bosanlah. Pada pukul 2 petang tu, aku cuba lagi dan akhirnya kali ini berjaya.

" Selamat sejahtera. Ini Jabatan Pelajaran Negeri Sabah. Ada apa yang saya boleh bantu? "

" Selamat sejahtera..err...saya nak tahu tentang penempatan saya. Saya graduan PISMP dari IPG "

" Sila berikan nama awak ". Sejurus selepas tu..

"Ok encik Asran Omar, anda ditempatkan di daerah Kinabatangan. Sila lapor diri di Pejabat Pelajaran Daerah Kinabatangan pada 10hb Februari 2011, jam 9 pagi. Terima kasih "

Kinabatangan? Perghh....aku tak tahu nak kata apa. Suka ada, seram pun ada juga. Suka sebab dekat saja dengan Sandakan. Seram sebab Kinabatangan tu luas, silap - silap aku masuk pergi sekolah yang tergolong sebagai P3 ke atas...huhu

Tapi, aku cuba menenangkan hati. Aku kata pada diri aku, ini semuanya cabaran. Jadi aku kena kuat untuk hadapinya...

Kepada kawan - kawan, mungkin selepas ini aku dah jarang dapat 'update' blog sebab aku tak ada 'broadband'. Kalau ada pun, rasanya tak ada 'coverage' mungkin di tempat aku 'posting' tu..huhu

*inilah peta dan senarai sekolah dalam daerah kinabatangan...seram aku tengok!huhu...*

ADUHAI...HUJAN LAGI KE?!

Assalammualaikum wbt..

Sandakan hujan lagi hari ini. Sejak subuh hingga ke saat entri ini ditulis, hujan masih lagi tidak berhenti. Mungkin ada dalam kalangan kita menganggap hujan ini akan membawa musibah seperti banjir dan sebagainya. Dialog - dialog seperti dibawah ini mesti biasa kita dengar ;

'alamak, hujan lagi..rosaklah program aku nak dating hari nie'
'menyusahkan betul la hujan nie..rugi je basuh kereta tadi..'
'aiseh, hujan pulak...baju semalam tak kering lagi...huhu'
'hujan, hujan, hujan..hari hari hujan...huhu'
'confirm banjir la pasni..hmm...'

Sedar atau tidak, kita semakin terlupa mengenai hakikat penciptaan hujan yang sebenarnya. Hal ini bukanlah suatu yang mengejutkan kerana manusia memang selalu mengeluh apabila diuji sesuatu yang tidak disukainya.

"Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir." (Surah Al-Ma'aarij: 19).

Allah SWT menciptakan hujan dan menurunkannya ke bumi dengan tujuan dan hikmah yang besar. Allah berfirman dalam kitab- Nya ;

“Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian kami berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya.” (al-Hijr : 22).

“Dan Kam
i turunkan hujan dari langit dengan sukatan yang tertentu, serta Kami tempatkan dia tersimpan di bumi; Dan sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya.” ( Al-Mukminun : 18 ).

Hujan yang diturunkan oleh Allah juga sebenarnya membawa pelbagai rahmat kepada manusia. Sekali lagi, Allah menegaskannya di dalam Al - Quran ;

“Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya).” (Al-A’raf : 57).

“Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah.” (al-Qamar : 11).

Haa, nampak tak ayat di atas tu? Sepatutnya kita menjadi manusia yang bersyukur dan sentiasa membuat prasangka yang baik lebih - lebih lagi kepada Allah SWT. Allah menurunkan hujan bukan suka - suka. Pasal tu kita dianjurkan untuk membaca doa dibawah ni setiap kali hujan turun.

Allahumma syaiyiban nafi’a” (Ya Allah, Ya Tuhan kami! Jadikan hujan ini bermanfaat buat kami)

Jadi, nasihat buat diri saya dan buat kawan - kawan yang saya sayangi, janganlah terlalu berfikir yang negatif dengan apa yang kita hadapi. Pandanglah setiap kejadian dan dugaan yang datang tu dengan pandangan akal dan iman. Jangan memandang mengikut nafsu dan perasaan semata. Allah tak pernah menzalimi hamba - hambaNya, sekalipun acapkali hamba - hambaNya ini ingkar dan derhaka kepadaNya.

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." Surah Al-Baqarah ayat 286.

*nie lah sedikit gambar tentang banjir di Sandakan hari tue*


*nie lah sedikit gambar tentang banjir di Sandakan hari tue*

REVOLUSI : MESIR OH MESIR

Seminggu dua ini, kita dikejutkan oleh berita mengenai timbulnya semangat revolusi yang mula - mula sekali dicetuskan oleh rakyat Tunisia yang semakin menyampah dan bosan dengan pemerintahan kuku besi Presiden Ben Ali *klik disini untuk biodata beliau*. Pemerintahan beliau selama lebih dua dekad akhirnya tumbang dengan kuasa rakyat yang mencetuskan revolusi. Sebaik sahaja kuku besi presiden itu patah, semangat revolusi kemudiannya bertiup ke negara - negara afrika utara dan ke asia barat yang berada di sekitarnya. Kerajaan Lubnan yang sebelum itu di pimpin oleh Perdana Menteri Saad Hariri *klik disini untuk biodata beliau*, terpaksa akur dengan desakan untuk melepaskan jawatan tersebut dan akhirnya terdapat kekecohan di sana sini akibat golongan Pro Hariri dan juga Pro Hizbollah. Saad Hariri yang mendapat sokongan Amerika Syarikat dan sekutunya, dimalukan di mata dunia apabila pertemuan beliau dengan Presiden Barack Obama dikejutkan oleh berita perletakan jawatan beberapa menteri kabinet yang berhaluan kiri iaitu dari Parti Hizbollah yang mendapat restu Iran dan Syria. Sekali lagi, revolusi rakyat yang semakin bosan dan meluat dengan kerajaan yang pro Amerika dan barat terpaksa tunduk dan merelakan untuk mengadakan pemilihan semula jawatan perdana menteri yang akhirnya dimenangi oleh Najib Mikati *klik disini untuk biodata beliau* yang dicalonkan dan mendapat sokongan daripada Hizbollah.

Dalam masa yang sama, api revolusi semakin kuat menjulang, akhirnya merebak dan tiba untuk membakar 'Piramid' tinggalan Firaun yang kini diwarisi oleh anak cucunya iaitu Presiden Hosni Mubarak *klik disini untuk biodata beliau*. Hosni yang selama ini mendapat sokongan Amerika Syarikat dan Israel sebagai tulang belakangnya, kini lumpuh akibat revolusi yang dicetuskan oleh pemuda - pemuda Mesir menerusi laman sosial seperti Facebook, Twitter, Blog dan sebagainya; yang akhirnya membawa mereka melakukan demonstrasi ke tengah - tengah jalan raya sambil melaungkan slogan supaya Hosni berundur. Demonstrasi yang pada mulanya aman, mula mencetuskan kekecohan akibat 'semangat' yang membakar diri rakyat Mesir. Kedai - kedai mula dipecahkan, dirompak dan kemudiannya dibakar ; penjara dibakar dan akhirnya meloloskan ribuan penjenayah berbahaya ke tengah - tengah masyarakat ; rumah - rumah orang awam di ceroboh malahan ada laporan mengatakan bahawa kes rogol juga wujud akibat tunjuk perasaan tersebut.

Bagi sesetengah pemerhati politik, keadaan yang seperti 'bom jangka' ini memang sudah lama diramalkan akan berlaku. Kebosanan dan meluat akibat kerajaan mereka yang semakin lama semakin teruk dengan korupsi yang meningkat, kenaikan harga barang yang mendadak, dan yang paling teruk kerana keterlibatan kerajaan Mesir dalam isu Palestin menyebabkan rakyat mula bersuara dan bertindak. Pemerintah yang selama ini hanya mengumpul kekayaan individu, akan mula digulingkan dengan kejam dan ganas. Tiada lagi pilihanraya yang berat sebelah. Tiada lagi penggiliran jawatan secara keturunan. Rakyat kini semakin pandai dan bijak. Mereka mahukan sebuah kerajaan yang tulus dan berlaku adil terhadap rakyat.

Namun dalam keghairahan rakyat Mesir melakukan pembaharuan dalam struktur pemerintahan kerajaan mereka, mereka sebenarnya terlupa mengenai kesan akibat tindakan mereka yang agak terburu - buru dan mengikut perasaan itu. Apakah harga sebuah keamanan yang mereka pernah nikmati itu setimpal dengan keadaan yang kini huru - hara? Adakah keamanan yang mereka kecapi itu perlu dikorbankan bagi memberi laluan terhadap pemerintahan baru yang belum tentu dapat menjamin ketulusan kerajaannya? Tidakkah rakyat Mesir tidak mengambil pengajaran dengan apa yang berlaku di Iraq, Afghanistan, malahan di Thailand? Keganasan tidak menjamin kerajaan baru yang dibentuk akan dapat memuaskan hati ramai pihak.

Bagi hemat saya, menjaga keamanan, keselamatan dan hak sesama muslim dan senegara itu lebih aula daripada menggulingkan kerajaan yang didakwa ( maksudnya belum disahkan dan diadili dengan sebaiknya ) melakukan korupsi, pecah amanah, memakan duit rakyat, dan sebagainya. Sekalipun mungkin kerajaan melakukan penindasan terhadap rakyat, tetapi rakyat masih dapat hidup aman damai, mampu berjalan ke mana - mana tanpa bimbang ancaman penjenayah, mampu bertindak sebebas - bebasnya sebagai rakyat dalam negara yang merdeka dan mampu menyuarakan ketidakpuashatian mereka pada prosedur yang betul.

Saya ingin membawakan dua buah hadis mengenai perkara berkaitan hubungan pemerintah dengan rakyat, tetapi saya tidak akan mengulasnya kerana itu bukan bidang saya. Saya hanya meminta pembaca membuka minda dan dada untuk memikirkan mengenai maksud hadis yang saya bawakan ini.

Hadis yang pertama dalam Riwayat Muslim, Jilid:3, no. 1482,

"Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang kamu cintai mereka dan mereka mencintai kamu. Kamu mendoakan mereka, mereka pula mendoakan kamu. Pemimpin yang jahat ialah pemimpin yang kamu membenci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu melaknat mereka, mereka juga melaknat kamu. Baginda ditanya ; Tidak bolehkah kami perangin mereka dengan pedang? Jawab Baginda; Tidak, selagi mana mereka mendirikan solat. INGATLAH, sesiapa yang dikuasai penguasa, lalu dia mendapati penguasa itu melakukan maksiat kepada ALLAH, dia hendaklah membenci maksiat tersebut namun jangan mencabut tangan dari ketaatan. "


Hadis yang kedua, Riwayat Muslim, Jilid;3, no. 1481,

"Akan dilantik para pemimpin yang kamu setujui ( sebahagian kebaikan mereka ) dan kamu akan membantah ( sebahagian kejahatan mereka ). Sesiapa yang membenci ( perbuatan mungkar ), maka dia terlepas ( daripada dosa ), sesiapa yang membantah maka dia selamat ( daripada dosa ), namun ( yang berdosa ) sesiapa yang redha dan menuruti ( perbuatan mungkar ). " Sahabat bertanya ; "Tidak bolehkah kami perangi mereka?" Jawab Baginda ; "Tidak selagi mana mereka solat."

Para pembaca yang budiman,

Semangat revolusi para pemuda pada zaman ini begitu baik sekali, namun agak malang apabila ianya tidak disuluh dan dilandasi dengan panduan dan jalan yang betul. Kekejaman pemerintah seharusnya tidak dibiar lama tetapi adalah menjadi kewajipan untuk menjaga keamanan dan keselamatan sesama kita terlebih dahulu sebelum bertindak. Jika didapati tindakan tersebut membawa lebih banyak kesan negatif daripada positif, maka adalah lebih baik kita duduk dan berfikir mengenai cara lain yang lebih baik. Menghancurkan kemudahan awam, melakukan keganasan, rompak, rogol dan sebagainya tidak akan membawa negara ke arah yang lebih baik malahan ianya hanya merosakkan dan menghancurkan perpaduan dan keamanan dalam negara. Mesir selepas ini tentunya akan lumpuh dari segi ekonomi dan juga keselamatan. Pelabur asing tidak akan mahu menanggung risiko melabur di negara yang huru - hara, para pelajar asing yang selama ini puluhan ribu menuntut di Mesir pastinya akan berfikir dua kali untuk kembali ke sana setelah apa yang pernah terjadi kepada mereka. Mesir akan terdedah dengan serangan musuh, dan kemungkinan besar andai kekecohan ini berlarutan, Amerika Syarikat dan Israel akan membedil Mesir agar hajat mereka untuk menubuhkan Israel Raya di kawasan sekitar berhampiran dengan Palestin tidak terganggu. Jika dulunya mereka hanya menjadikan Mesir sekutu, kini mereka 'berpeluang' untuk 'menawan' dan 'mengawal' Mesir. Ini pastinya merupakan satu bonus yang besar bagi Amerika Syarikat dan Israel Laknatullah.

Para pembaca yang budiman,

Saya ingin menjelaskan pendirian saya di dalam hal ini agar tidak terdapat kekeliruan pada pembaca, iaitu saya sama sekali TIDAK menyatakan bahawa tindakan rakyat MESIR yang mengadakan revolusi itu SALAH atau BETUL, dan saya juga TIDAK mengatakan bahawa saya MENYOKONG atau TIDAK tindakan mereka itu. Saya hanya mengatakan bahawa setiap perkara itu ada jalan penyelesaian yang baik, dan KEGANASAN tidak akan dapat mengubah apa - apa jua keputusan yang lebih baik. Bagi saya, KEGANASAN sesama muslim dan senegara hanya akan membawa kehancuran dan kebinasaan. Oleh itu, saya ingin menyeru para pendokong semangat revolusi agar berfikirlah sebaiknya sebelum bertindak. Fikirkan tentang kemaslahatan rakyat dan negara terlebih dahulu sebelum membuat apa - apa perkara. Menjaga keselamatan, keamanan dan hak sesama muslim dan negara itu lebih aula daripada melakukan tunjuk perasaan yang hanya akan mengakibatkan kesengsaraan rakyat dan kehancuran negara.


Rujukan :

1. www.wikipedia.com
2. Membela Islam : Tanggungjawab dan Disiplin ( Karya Bestari
)





AKU MOHON MAAF PADAMU

Assalammualaikum wbt

Saya tertarik untuk menulis sedikit mengenai blog saya ni. Mungkin ramai kalangan pembaca yang membuka blog saya akan sedikit terkejut dan juga mungkin hampa kerana apa yang diharapkan tidak ada disini. Ramai kalangan pembaca kemungkinan hairan melihat penampilan dan isi blog saya. Anda tentunya mengharapkan dengan nama blog www.mujahidalafbaru.blogspot.com ini, anda akan mendapat sebuah blog 'islamik' yang penuh dengan artikel tazkirah, ilmu islam dan banyak lagi label - label yang berkaitan sepertimana dalam blog islamik yang lain. Tetapi sebaik sahaja melihat kepada isi yang terdapat di dalam blog ini, ada di kalangan anda mungkin yang berkata dalam hati "ah, aku ingat blog islamik..rupanya cuma penampilan dan nama ja yang macam islamik padahal isi hampeh.."..betul tak?

Adakah hanya dengan meletakkan artikel yang penuh dengan tazkirah, ceramah, ilmu - ilmu berkaitan dengan islam dan sebagainya itu menjadikan blog itu blog Islamik? Apakah tidak boleh blog harian biasa menggunakan penampilan Islamik? Adakah ianya salah?

Jawapan saya mudah. Islam merupakan suatu agama yang sempurna dan melangkaui norma - norma yang terdapat dalam agama yang lain. Di dalam 'kesibukan' agama - agama lain menekankan aspek spiritual ( ibadah / penyembahan kepada Tuhan ) kepada para penganutnya, Islam menekan sebaliknya. Islam mengajar penganutnya agar menjadikan Islam sebagai satu cara hidup dan bukan hanya setakat pegangan rohani semata. Adakah agama lain di dunia ini yang mengajar umatnya bagaimana mahu menjalani kehidupan dari saat bangun tidur pada waktu pagi hingga ke saat hendak tidur semula di malam hari, dengan menjadikan agama sebagai satu cara hidup selain daripada Islam?

Para pembaca sekalian.

Islam mengajar kita agar menjadikan seluruh kehidupan seharian kita bertunjangkan kepada ajaran - ajaran dan nilai - nilai yang telah digariskannya. Islam memberi kita panduan bagaimana mahu menjalani kehidupan sebagai seorang muslim yang sejati. Dengan mengamalkan dan menghayati Islam sebagai suatu gaya hidup, maka seluruh aktiviti dan apa jua yang berkaitan dengan kehidupan kita sebagai manusia akan beridentitikan Islam. Apakah salah kita menonjolkan imej Islam kita itu? Saya sebenarnya berbangga dengan identiti Islam saya, kerana itu saya sentiasa menonjolkannya dari segi perlakuan dan pergaulan saya dalam dunia sebenar malahan saya turut membawa identiti itu dalam dunia maya seperti blog, facebook dan sebagainya.

Saya seorang muslim yang hanya mempunyai ilmu berkaitan Islam 'cukup - cukup makan' sahaja. Jadi tentunya dengan ilmu yang begitu sedikit, saya tidak mempunyai kemampuan untuk menulis perkara yang berkaitan dengan ilmu Islam kerana jika saya tersilap, tentunya ramai pembaca yang akan keliru dan saya pastinya akan mendapat dosa. Walaupun begitu, saya cuba mengaplikasikan ilmu yang sedikit itu dalam perkara seharian saya dan semuanya itu saya rangkumkan dan kongsikan kepada anda menerusi blog ini. Apa yang anda baca di dalam blog ini merupakan sebahagian daripada pengalaman, perbincangan, dan perkongsian yang saya kaitkan dengan kehidupan sebagai seorang muslim.

Oleh yang demikian, saya dengan rendah diri memohon maaf andai ada pembaca yang merasakan identiti blog saya yang cuba menonjolkan identiti islamik ini tidak bersesuaian dengan isi kandungan yang terdapat dalamnya. Sesungguhnya, saya hanya seorang manusia yang kerdil lagi dhaif. Saya hanya menyampaikan dan berkongsi sesuatu mengikut kemampuan saya. Saya juga memilih penampilan islamik dalam blog saya kerana saya berbangga menjadi seorang muslim dan saya tidak merasakan ianya suatu kesalahan menampilkan identiti islamik sekalipun isi yang ada di dalamnya tidak seratus peratus islamik seperti yang disangkakan. Apa yang saya mampu hanyalah mengikut anjuran Nabi yang menggalakkan umatnya berkongsi dan menyampaikan apa yang diketahuinya sekalipun hanya ilmu yang sedikit. "Balighu 'anni walau ayah"..

OH! TIDAK KU SANGKA BEGINI JADINYA..

Untuk ke sekian kalinya ( aku tak ingat sudah berapa kali ), hujan turun lagi membasahi bumi Sandakan nie dalam masa tempoh lebih 56 jam yang lalu. Seperti biasa, aku sebagai seorang hamba Allah memang sangat gembira dengan hujan yang turun. Malah, kadang - kadang aku bagaikan kanak - kanak ribena yang berlompat keriangan dan kegirangan apabila turun. Hujan yang lebat bukan sahaja menjadikan keadaan sekeliling menjadi nyaman, malah menjimatkan elektrik sebab tak perlu dah nak pasang kipas atau air-cond.

Malangnya dalam keriangan aku menyambut musim hujan yang gemilang ini, aku dikejutkan oleh beberapa musibah yang menimpa dek kerana hujan yang turun dengan lebat. Semalam, sewaktu aku pulang dari masjid selepas menunaikan solat jumaat, aku melihat keadaan jalanraya sepanjang dari kawasan masjid sampailah ke kawasan perumahan aku ( Taman Merpati - Taman Rajawali - Taman Sejati ), sudah pun ditenggelami air sehingga melepasi tumit. Walaupun begitu, dengan keadaan rumah yang agak tinggi sedikit berbanding kawasan perumahan yang lain itu, aku yakin rumah aku tidak akan terjejas. Namun, sebaik sahaja aku sampai ke rumah, aku mendapati mak dan adik aku sedang menyapu air di belakang rumah aku. Rupa - rupanya, bukit kecil di belakang rumah aku runtuh sedikit menyebabkan parit ditimbus dengan timbunan tanah yang akhirnya mengakibatkan laluan air di parit berkenaan tersekat lantas mewujudkan suatu keadaan yang agak merisaukan iaitu air mula naik dan masuk ke kawasan belakang rumah.

Lalu tanpa membuang masa, aku dan abang ipar aku pun mulalah melakukan kerja - kerja mengorek tanah tersebut dalam usaha untuk membuka laluan kepada air untuk melimpah ke kawasan yang sepatutnya. Tidak berapa kemudian, kami disertai oleh jiran kami. Selang beberapa jam ( rasanya dalam sejam lebih jugak ), air mula surut dan hujan pun mula perlahan. Kami pun senang hati lalu masuk dan mandi sebelum menikmati minuman panas yang menyegarkan. Biarpun agak lega dengan keadaan tersebut, kami masih lagi berjaga - jaga memandangkan hujan masih belum menunjukkan tanda - tanda untuk berhenti.

Dan seperti yang dijangka, tepat pukul 2.30 pagi tadi, aku dikejutkan dengan suara mak aku yang memanggil aku bangun dari tidur yang tak lena ( baru beberapa minit dapat tidur daa ) yang mengatakan bahawa dapur rumah kami sudah pun dilimpahi air. Lantas, ibarat seorang adiwira yang gagah perkasa, aku pun bingkas bangun dan berlompat turun dari katil untuk melihat kejadian tersebut. Aku begitu terkejut melihat dapur aku suda macam kolam ikan air tawar. Aku bergerak ke belakang rumah untuk melihat apakah sebab utama berlakunya fenomena ajaib itu, dan aku nendapati bahawa satu lagi runtuhan yang agak besar dari siang tadi sudah pun menimbusi parit sekali lagi. Melalui maklumat jiran aku, runtuhan tu bukan sahaja berlaku di kawasan belakang rumah kami malahan sebenarnya terdapat lagi satu runtuhan yang besar selang beberapa rumah sebelum kami. Dan runtuhan itulah yang sebenarnya menghalang laluan air mengalir.

Maka, pagi tadi kami sekeluarga begitu sibuk mengangkat barang dan menyapu air yang melimpah. Keadaan tersebut hanya reda pada pukul 5 pagi. Laluan air yang mulanya hampir satu kaki itu perlahan - lahan mula surut dan hanya separas tinggi parit sahaja. Kakak aku yang berasa gembira dan lega dengan keadaan tersebut, berbesar hati memasakkan mee goreng kepada seluruh ahli keluarga yang bertungkus lumus pada pagi itu. Itu merupakan sarapan pagi yang paling awal aku pernah nikmati seumur hidup aku.

Sekarang, pada pukul 3.10 petang, hujan mula menjadi lebat. Dan, perkara pada awal pagi semalam mungkin akan berulang lagi. Aku berdoa semoga kejadian ini tidak akan berlaku lagi. Lagipun rasanya sangat penat mencangkul dalam keadaan hujan lebat yang begitu sejuk hingga menusuk tulang sumsum. Doakan agar kita semua selamat dalam mengharungi musim hujan ini. InsyaAllah..



*beberapa keping gambar yang aku amik selepas tulis post nie tadi..air mula naik kembali...





*nie pulak video menggambarkan keadaan yang cukup lebat kat kawasan rumah aku..

AKU TAK BERSALAH

Aku tertarik untuk mengulas sedikit satu berita hangat yang keluar dua tiga hari yang lalu iaitu kes seorang bayi yang ditikam bertubi - tubi oleh ibunya sendiri sebelum disumbat di dalam baldi. Bagi aku, perkara ini sangat kejam. Sangat tidak berperikemanusiaan. Namun, dalam mengadili perkara ini, kita seharusnya menyelidiki secara teliti mengapa si ibu itu tergamak melakukan perkara tersebut kepada anak yang dikandungnya selama sembilan bulan itu. Aku terbaca berita mengenai susulan kes itu semalam, berita melaporkan bahawa si ibu itu melakukan perkara yang demikian akibat ditinggalkan oleh suaminya. Jika ia benar, malang sekali nasib si ibu itu. Ternyata, yang perlu dipersalahkan dalam hal tersebut ialah si suami yang tidak bertanggungjawab. Sudahlah si ibu itu merupakan pelarian politik di negara kita, ditinggalkan pula oleh si suami di saat dia sedang sarat mengandung, dan tentunya dengan keadaan yang tidak stabil disaat melahirkan anak itu, si ibu tidak dapat mengawal emosi dan tindakannya yang akhirnya menjadikan si bayi malang itu tempat melepaskan geramnya.

Bagaimanapun, si ibu itu sepatutnya menjadi lebih bertanggungjawab terhadap 'amanah' Allah itu. Tindakan membunuh anak yang tidak berdosa itu bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah malahan menjadikan masalahnya lebih parah. Lebih parah kerana bukan sahaja berdepan dengan mahkamah dunia, dia akan berdepan dengan pengadilan yang lebih besar di mahkamah Allah kelak.

Kalau mahkamah di dunia ini, mungkin hanya dia yang dikenakan hukuman, tetapi aku percaya di mahkamah Allah kelak, tentu akan ada lebih ramai lagi 'suspek' yang akan terlibat. Suaminya, sanak saudaranya, jirannya, malahan silap - silap kita sebagai pembaca berita juga akan terheret sama. Si suami jika didapati bersalah kerana lari dari tanggungjawab pasti akan dihukum. Sanak saudara dan jiran tetangga yang tidak mengambil kisah dan membantunya disaat dia memerlukan, tentunya akan terkena tempias sama.

Kita sendiri, yang membaca berita dan kemudian menghukum wanita tersebut dengan mengeluarkan kata - kata yang kesat, jangan harap terlepas. Kita sepatutnya lebih rasional dan berhemah dalam menangani hal tersebut. Jangan terus menghukum kerana kita bukannya tahu sangat perkara yang sebenar kan. Sepatutnya kita berdoa semoga si ibu bertaubat dan menyesali perbuatannya, kita bersangka baik bahawa disaat dia melakukan perbuatan itu- dia sebenarnya dalam keadaan yang tertekan dan tidak stabil. Dari sudut pandangan aku, aku dapati ada beberapa hikmah dan pengajaran yan kita boleh ambil dari kejadian yang menyayat hati itu. Antaranya ialah :

1. Jangan biarkan diri diselubungi dengan tekanan dan emosi yang tidak stabil. Lebih - lebih lagi dalam keadaan kritikal seperti mengandung dan sebagainya.
2. Cari pasangan (baca ; suami ) yang bertanggungjawab. Jangan pandai buat lepas tu lari.
3. Kongsi masalah dengan rakan atau ahli keluarga agar tidak terlalu tertekan.
4. Rapatkan diri dengan Allah. Jangan sekali - kali putus harapan.
5. Sebagai masyarakat, janganlah kita hanya tahu menghukum sahaja. Sebaliknya kita harus bersama - sama dalam menangani masalah tersebut agar ianya tidak berulang lagi.
6. Sebarang keganasan ( pembunuhan, penderaan ) terhadap orang yang tidak berdosa, tidak akan dapat menyelesaikan masalah.

Semoga si ibu yang malang itu bertaubat dan menyesali atas perbuatannya. Dan si anak yang sah - sah menjadi ahli syurga itu sudi memaafkan ibunya itu dan memberikan syafaatnya nanti. InsyaAllah...amin..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...