Bab 1 : Sebuah Lembaran Baru

Tengahari itu, seusai sahaja makan dan solat Zohor, Imran menghempaskan tubuhnya di katil. Tubuhnya terasa begitu lemah. Sengalnya terasa hingga ke tulang. Imran melepaskan satu keluhan yang kuat, seakan ingin melepaskan bebanan yang begitu besar dan berat yang ditanggungnya sekian lama. Buku LA TAHZAN karangan Dr. Aidh dicapainya dari meja yang terletak disebelah kanan katilnya. Buku itu dibukanya perlahan. Serentak dengan itu, bau haruman buku menerjah hidungnya. Imran memang suka dengan bau buku. Setiap kali menghidu bauan helaian buku yang dibuka, terasa dirinya begitu teruja untuk membaca. Semangatnya pasti akan memanggil - manggil, menarik hatinya bagi meluangkan masa untuk membaca sekalipun punya masa yang singkat atau disaat dia kelelahan selepas seharian bekerja.

Perlahan matanya dihalakan pada halaman pada halaman 31. Matanya sebaris ayat Quran yang diletakkan pada halaman tersebut.

".....tidak sekali kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami..." ( At Taubah : 51 )

Imran merenung ayat tersebut berulang kali. Sukmanya terasa sendat dan hangat merenung ayat tersebut. Dia merasakan betapa bertuahnya menjadi seorang muslim kerana punya mukjizat agung seperti Al Quran. Ayat - ayatnya biarpun ringkas namun begitu padat dengan mesej yang ingin disampaikan oleh Allah kepada manusia. Mudah difahami, dan bisa sahaja membuatkan hati tertunduk mengaku kebesaran Allah SWT. Imran meletakkan buku tersebut menelangkup di dadanya. Dia terkenang betapa banyaknya ujian dan dugaan yang dihadapinya sejak menghabiskan pengajiannya Disember tahun lepas, sehinggalah mendapat tawaran untuk bertugas sebagai guru di sebuah sekolah rendah di kawasan luar bandar di daerah Kinabatangan 3 bulan lepas.

Satu - satu ujian dan dugaan dihadapinya. Ada yang besar, ada juga perkara yang remeh - temeh sahaja. Namun, yang pastinya semuanya itu membuatkan Imran kelelahan dan hampir - hampir membuatkan dirinya jatuh terduduk. Lama rasanya terkapai - kapai sendirian. Ditambah lagi dengan kesibukannya bekerja sambilan sepanjang tempoh menunggu surat tawaran dari Kementerian Pelajaran Malaysia. Bekerja selama 7 hari seminggu, 10 jam sehari menyebabkan dirinya begitu kelelahan. Bekerja di pasaraya sebagai pekerja sambilan memerlukan dia memerah tulang empat keratnya bersungguh - sungguh kerana gaji yang dibayar adalah mengikut hari bekerja.

Imran mengubah kedudukan baringnya. Buku La Tahzan diletakkan semula di atas meja sebelahnya. Imran kini berbaring mengiring menghadap ke arah pintu biliknya. Dia hanya bersendirian di rumah sewanya. Dua lagi teman serumahnya masih lagi berada di sekolah. Kedua - dua teman serumahnya itu memang sentiasa sibuk dengan pelbagai hal di sekolah. Idham - merupakan seorang guru baharu seperti Imran, berasal dari Kelantan memang suka balik lewat kerana menyelesaikan tugasan - tugasannya di sekolah. Rahmat - seorang juruteknik komputer di sekolahnya pula memang bekerja 'office hour'. Jadi sememangnya pada jam yang baru sahaja menjangkau pukul 2.30 petang, Rahmat masih lagi bertugas. Imran masih lagi termenung. Fikirannya melayang - layang. Tubuhnya keletihan selepas penat mengajar pada sebelah pagi tadi hingga ke tengahari, namun matanya begitu liat untuk dipejamkan.

Mata Imran baru sahaja ingin terpejam, tiba - tiba terdengar suaranya dilaung dari luar. Imran bingkas bangkit lalu bergerak ke arah pintu rumah....................

*bersambung....

1 comments:

Z here said...

Karya baru ka muallim :)

I love d smells of book too...

~Blogwalking~
N.S

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...