REVOLUSI : MESIR OH MESIR

Seminggu dua ini, kita dikejutkan oleh berita mengenai timbulnya semangat revolusi yang mula - mula sekali dicetuskan oleh rakyat Tunisia yang semakin menyampah dan bosan dengan pemerintahan kuku besi Presiden Ben Ali *klik disini untuk biodata beliau*. Pemerintahan beliau selama lebih dua dekad akhirnya tumbang dengan kuasa rakyat yang mencetuskan revolusi. Sebaik sahaja kuku besi presiden itu patah, semangat revolusi kemudiannya bertiup ke negara - negara afrika utara dan ke asia barat yang berada di sekitarnya. Kerajaan Lubnan yang sebelum itu di pimpin oleh Perdana Menteri Saad Hariri *klik disini untuk biodata beliau*, terpaksa akur dengan desakan untuk melepaskan jawatan tersebut dan akhirnya terdapat kekecohan di sana sini akibat golongan Pro Hariri dan juga Pro Hizbollah. Saad Hariri yang mendapat sokongan Amerika Syarikat dan sekutunya, dimalukan di mata dunia apabila pertemuan beliau dengan Presiden Barack Obama dikejutkan oleh berita perletakan jawatan beberapa menteri kabinet yang berhaluan kiri iaitu dari Parti Hizbollah yang mendapat restu Iran dan Syria. Sekali lagi, revolusi rakyat yang semakin bosan dan meluat dengan kerajaan yang pro Amerika dan barat terpaksa tunduk dan merelakan untuk mengadakan pemilihan semula jawatan perdana menteri yang akhirnya dimenangi oleh Najib Mikati *klik disini untuk biodata beliau* yang dicalonkan dan mendapat sokongan daripada Hizbollah.

Dalam masa yang sama, api revolusi semakin kuat menjulang, akhirnya merebak dan tiba untuk membakar 'Piramid' tinggalan Firaun yang kini diwarisi oleh anak cucunya iaitu Presiden Hosni Mubarak *klik disini untuk biodata beliau*. Hosni yang selama ini mendapat sokongan Amerika Syarikat dan Israel sebagai tulang belakangnya, kini lumpuh akibat revolusi yang dicetuskan oleh pemuda - pemuda Mesir menerusi laman sosial seperti Facebook, Twitter, Blog dan sebagainya; yang akhirnya membawa mereka melakukan demonstrasi ke tengah - tengah jalan raya sambil melaungkan slogan supaya Hosni berundur. Demonstrasi yang pada mulanya aman, mula mencetuskan kekecohan akibat 'semangat' yang membakar diri rakyat Mesir. Kedai - kedai mula dipecahkan, dirompak dan kemudiannya dibakar ; penjara dibakar dan akhirnya meloloskan ribuan penjenayah berbahaya ke tengah - tengah masyarakat ; rumah - rumah orang awam di ceroboh malahan ada laporan mengatakan bahawa kes rogol juga wujud akibat tunjuk perasaan tersebut.

Bagi sesetengah pemerhati politik, keadaan yang seperti 'bom jangka' ini memang sudah lama diramalkan akan berlaku. Kebosanan dan meluat akibat kerajaan mereka yang semakin lama semakin teruk dengan korupsi yang meningkat, kenaikan harga barang yang mendadak, dan yang paling teruk kerana keterlibatan kerajaan Mesir dalam isu Palestin menyebabkan rakyat mula bersuara dan bertindak. Pemerintah yang selama ini hanya mengumpul kekayaan individu, akan mula digulingkan dengan kejam dan ganas. Tiada lagi pilihanraya yang berat sebelah. Tiada lagi penggiliran jawatan secara keturunan. Rakyat kini semakin pandai dan bijak. Mereka mahukan sebuah kerajaan yang tulus dan berlaku adil terhadap rakyat.

Namun dalam keghairahan rakyat Mesir melakukan pembaharuan dalam struktur pemerintahan kerajaan mereka, mereka sebenarnya terlupa mengenai kesan akibat tindakan mereka yang agak terburu - buru dan mengikut perasaan itu. Apakah harga sebuah keamanan yang mereka pernah nikmati itu setimpal dengan keadaan yang kini huru - hara? Adakah keamanan yang mereka kecapi itu perlu dikorbankan bagi memberi laluan terhadap pemerintahan baru yang belum tentu dapat menjamin ketulusan kerajaannya? Tidakkah rakyat Mesir tidak mengambil pengajaran dengan apa yang berlaku di Iraq, Afghanistan, malahan di Thailand? Keganasan tidak menjamin kerajaan baru yang dibentuk akan dapat memuaskan hati ramai pihak.

Bagi hemat saya, menjaga keamanan, keselamatan dan hak sesama muslim dan senegara itu lebih aula daripada menggulingkan kerajaan yang didakwa ( maksudnya belum disahkan dan diadili dengan sebaiknya ) melakukan korupsi, pecah amanah, memakan duit rakyat, dan sebagainya. Sekalipun mungkin kerajaan melakukan penindasan terhadap rakyat, tetapi rakyat masih dapat hidup aman damai, mampu berjalan ke mana - mana tanpa bimbang ancaman penjenayah, mampu bertindak sebebas - bebasnya sebagai rakyat dalam negara yang merdeka dan mampu menyuarakan ketidakpuashatian mereka pada prosedur yang betul.

Saya ingin membawakan dua buah hadis mengenai perkara berkaitan hubungan pemerintah dengan rakyat, tetapi saya tidak akan mengulasnya kerana itu bukan bidang saya. Saya hanya meminta pembaca membuka minda dan dada untuk memikirkan mengenai maksud hadis yang saya bawakan ini.

Hadis yang pertama dalam Riwayat Muslim, Jilid:3, no. 1482,

"Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang kamu cintai mereka dan mereka mencintai kamu. Kamu mendoakan mereka, mereka pula mendoakan kamu. Pemimpin yang jahat ialah pemimpin yang kamu membenci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu melaknat mereka, mereka juga melaknat kamu. Baginda ditanya ; Tidak bolehkah kami perangin mereka dengan pedang? Jawab Baginda; Tidak, selagi mana mereka mendirikan solat. INGATLAH, sesiapa yang dikuasai penguasa, lalu dia mendapati penguasa itu melakukan maksiat kepada ALLAH, dia hendaklah membenci maksiat tersebut namun jangan mencabut tangan dari ketaatan. "


Hadis yang kedua, Riwayat Muslim, Jilid;3, no. 1481,

"Akan dilantik para pemimpin yang kamu setujui ( sebahagian kebaikan mereka ) dan kamu akan membantah ( sebahagian kejahatan mereka ). Sesiapa yang membenci ( perbuatan mungkar ), maka dia terlepas ( daripada dosa ), sesiapa yang membantah maka dia selamat ( daripada dosa ), namun ( yang berdosa ) sesiapa yang redha dan menuruti ( perbuatan mungkar ). " Sahabat bertanya ; "Tidak bolehkah kami perangi mereka?" Jawab Baginda ; "Tidak selagi mana mereka solat."

Para pembaca yang budiman,

Semangat revolusi para pemuda pada zaman ini begitu baik sekali, namun agak malang apabila ianya tidak disuluh dan dilandasi dengan panduan dan jalan yang betul. Kekejaman pemerintah seharusnya tidak dibiar lama tetapi adalah menjadi kewajipan untuk menjaga keamanan dan keselamatan sesama kita terlebih dahulu sebelum bertindak. Jika didapati tindakan tersebut membawa lebih banyak kesan negatif daripada positif, maka adalah lebih baik kita duduk dan berfikir mengenai cara lain yang lebih baik. Menghancurkan kemudahan awam, melakukan keganasan, rompak, rogol dan sebagainya tidak akan membawa negara ke arah yang lebih baik malahan ianya hanya merosakkan dan menghancurkan perpaduan dan keamanan dalam negara. Mesir selepas ini tentunya akan lumpuh dari segi ekonomi dan juga keselamatan. Pelabur asing tidak akan mahu menanggung risiko melabur di negara yang huru - hara, para pelajar asing yang selama ini puluhan ribu menuntut di Mesir pastinya akan berfikir dua kali untuk kembali ke sana setelah apa yang pernah terjadi kepada mereka. Mesir akan terdedah dengan serangan musuh, dan kemungkinan besar andai kekecohan ini berlarutan, Amerika Syarikat dan Israel akan membedil Mesir agar hajat mereka untuk menubuhkan Israel Raya di kawasan sekitar berhampiran dengan Palestin tidak terganggu. Jika dulunya mereka hanya menjadikan Mesir sekutu, kini mereka 'berpeluang' untuk 'menawan' dan 'mengawal' Mesir. Ini pastinya merupakan satu bonus yang besar bagi Amerika Syarikat dan Israel Laknatullah.

Para pembaca yang budiman,

Saya ingin menjelaskan pendirian saya di dalam hal ini agar tidak terdapat kekeliruan pada pembaca, iaitu saya sama sekali TIDAK menyatakan bahawa tindakan rakyat MESIR yang mengadakan revolusi itu SALAH atau BETUL, dan saya juga TIDAK mengatakan bahawa saya MENYOKONG atau TIDAK tindakan mereka itu. Saya hanya mengatakan bahawa setiap perkara itu ada jalan penyelesaian yang baik, dan KEGANASAN tidak akan dapat mengubah apa - apa jua keputusan yang lebih baik. Bagi saya, KEGANASAN sesama muslim dan senegara hanya akan membawa kehancuran dan kebinasaan. Oleh itu, saya ingin menyeru para pendokong semangat revolusi agar berfikirlah sebaiknya sebelum bertindak. Fikirkan tentang kemaslahatan rakyat dan negara terlebih dahulu sebelum membuat apa - apa perkara. Menjaga keselamatan, keamanan dan hak sesama muslim dan negara itu lebih aula daripada melakukan tunjuk perasaan yang hanya akan mengakibatkan kesengsaraan rakyat dan kehancuran negara.


Rujukan :

1. www.wikipedia.com
2. Membela Islam : Tanggungjawab dan Disiplin ( Karya Bestari
)





0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...