SELAMAT TAHUN BAHARU 2011

Assalammualaikum..

Adakah anda sedar kita sudah pun sebenarnya berada selama 25 hari dalam bulan Muharram bagi tahun baharu 1432H? Tentunya ada dalam kalangan kita sudah pun ingat - ingat lupa bukan? Hari ini pula kita sudah berada hari yang terakhir bagi tahun masihi 2010. Malam ini tentunya akan diadakan pelbagai konsert dan juga keraian di merata tempat di seluruh negara. Dalam kegigihan dan bersemangatnya 'pihak berwajib' menyatakan pendirian untuk mengurangkan indeks jenayah buang bayi dan masalah golongan remaja yang melakukan perlakuan sumbang, mereka masih tetap 'lupa' atau pun 'berpejam mata' sekaligus mengizinkan berlakunya pokok bagi segala masalah keruntuhan akhlak yang timbul di negara kita ini iaitu konsert - konsert tahun baharu yang bercampur diantara anak - anak adam dan hawa yang bukan muhrim.


Seperti kebiasaannya, sesudah selesai sahaja konsert pada tengah malam tahun baharu, kita akan melihat berbondong - bondong anak gadis kita terutamanya yang muslim diusung ke hotel - hotel, rumah tumpangan, rumah sewa, semak samun dan sebagainya oleh si lelaki durjana. Disebalik sampah - sarap yang bertimbun, terselit puluhan bekas kondom terpakai. Maka jangan hairan enam bulan dari sekarang, negara kita akan dikejutkan oleh penemuan bayi - bayi yang dibuang di sungai, tong sampah , masjid, surau, depan rumah orang, hospital. Bagi abyi yang bernasib baik, mereka akan ditemui oleh orang ramai dalam keadaan yang masih bernafas dan elok. Tetapi bagi mereka yang malang, ada dikalangan mereka yang akan menjadi habuan semut dan anjing - anjing yang kelaparan. Malahan ada juga yang ditemui tinggal separuh badan sahaja selepas dibaham oleh anjing. Dimanakah sifat kemanusiaan kita? Apakah kita tega melihat senario tersebut berlaku saban tahun? Dimanakah tanggungjawab dan peranan kita bagi membanteras perkara ini?

Seharusnya dalam menyelesaikan perkara ini, pihak berwajib dan masyarakat harus mencari dan melihat kepada masalah utama yang menjadi akar kepada segala masalah yang timbul. Rumah Pengasih, Sekolah Bagi Remaja Mengandung, pemberian kondom percuma, Pendidikan Seksualiti bukanlah penyelesaian yang terbaik dalam menyelesaikan masalah ini. Akar utama bagi masalah ini sebenarnya ialah pergaulan bebas dalam kalangan remaja kita pada masa kini. Pergaulan bebas sesama remaja lelaki dan perempuan pada waktu ini perlu dibataskan terutamanya bagi yang muslim. Pergaulan mereka sepatutnya berlandaskan kepada syariat dan bukannya menurut nafsu semata.

Anak - anak remaja masa kini perlu diterapkan dan diasuh dengan bimbingan pendidikan agama yang kuat dan bukannya dengan ilmu pendidikan seksualiti semata. Saya hairan mengapa perlunya kepada pengajaran pendidikan seksualiti seawal tahun satu padahal mereka masih belum pun mempunyai apa - apa 'idea' mengenai perkara tersebut sama ada mengenai anatomi fizikal mereka atau pun naluri. Kanak - kanak tersebut fitrahnya suci, maka seharusnya kita menjaga kesucian fitrah dan pemikiran mereka. Mengapa harus kita 'mencemarkan' pemikiran mereka dengan ilmu - ilmu yang sepatutnya mereka kuasai hanya apabila sudah mencapai tahap akil baligh. Kanak - kanak seawal umur tujuh tahun itu sepatutnya diberikan didikan dan bimbingan agama yang cukup bagi membina jati diri dan benteng iman mereka. Saya yakin sekiranya perkara ini dipraktikkan, kita akan berjaya mengurangkan kadar maksiat di negara kita ini.

Saya sebenarnya cukup terkilan dengan apa yang berlaku di negara kita ini. Dengan gejala pergaulan bebas yang meningkat, jenayah buang bayi dan sebagainya, kita menjadikan anak - anak yang tidak berdosa itu sebagai 'pihak' yang harus bertanggungjawab diatas masalah tersebut dengan menetapkan sistem pendidikan yang memasukkan pelbagai elemen - elemen dan subjek yang menyesakkan pemikiran mereka sebagai kanak - kanak.

Akhirnya, saya berdoa dan berharap semoga suatu masa nanti senario di negara kita akan berubah. Tiada lagi masalah buang bayi, seks bebas, dan pelbagai lagi masalah yang diakibatkan oleh pergaulan bebas dan keruntuhan akhlak remaja kita. Semoga tahun baharu 2011 yang akan menjelma beberapa jam sahaja lagi akan menjadi noktah bidayah bagi lembaran yang baharu dan ceria bagi kita rakyat Malaysia. Semoga Malaysia terus makmur dan dirahmati oleh Allah. "Baldatan toyyibatan wa rabbun ghafur"


Selamat Tahun Baharu 2011

Ingatlah wahai teman, dalam setiap perjalanan yang panjang dan meletihkan, pastinya kita perlu berhenti dalam setiap perhentian bagi menghilangkan lapar dahaga dan untuk mengisi bekalan, ambillah bekalan seadanya dan jangan berlebihan, kelak kau akan terduduk dan longlai akibat tidak terdaya menanggung bebanan, begitu juga janganlah leka dan alpa di perhentian sehingga terlalai menyimpan bekalan, kelak dirimu akan merana dan terhenti di separuh perjalanan, sehingga akhirnya tidak berjaya sampai ke pengakhiran, ingatlah ini wahai kawan, andai kaki mu lemah dan rebah di perjalanan, bangkit dan binalah semula kekuatan, jika tubuh mu jatuh dan tersungkur ke permukaan, bangun dan tegapkan la semula langkahan, ingatlah ini wahai rakan, sekadar nasihat sesama kita tanda ingatan, moga Allah memberi rahmat dan keampunan, dan semoga ukhuwah yang terjalin berkekalan sepanjang zaman..

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...