PAHALA ORANG SOLEH

KECUALI orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus. (At-Tin : 6)

Huraian
Buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat. Demikianlah kenyataan yang kita semua sedia maklum.
Di dalam al-Quran sendiri, Allah s.w.t. banyak menyebut bahawa syurga itu untuk golongan yang beramal soleh dan neraka pula untuk golongan yang menderhaka kepada-Nya.
Dalam hal ini, beruntunglah mereka yang beramal soleh kerana mereka dijanjikan dengan pelbagai nikmat oleh Allah s.w.t. Ini menunjukkan bahawa Allah s.w.t. itu Maha Pemurah.
Justeru, sebagai hamba sewajarnyalah kita mengucapkan syukur atas nikmat-nikmat itu dan menggunakannya pada jalan kebaikan.
Walau bagaimanapun, dalam menunaikan ibadah, kita tidak digalakkan untuk menghitung ganjaran yang bakal diterima.
Sebagai contoh, masyarakat kita sering disogokkan dengan kata-kata bahawa pahala akan diterima jika berpuasa sunat pada bulan Rejab dan Syaaban.
Begitu juga ada di antara kita yang hanya menunaikan solat sunat terawih pada malam tertentu sahaja, kononnya pada malam-malam itu, pahalanya lebih besar.
Sepatutnya individu dalam melakukan ibadah hendaklah dilakukan dengan ikhlas. Ini kerana setiap individu tidak mengetahui sama ada amalan mereka itu diterima atau ditolak.
Ingatlah bahawa ganjaran itu sebenarnya adalah hak Allah s.w.t. untuk hamba-Nya yang ikhlas beribadah.
Kita patut menjadikan ganjaran itu sebagai motivasi untuk meningkatkan lagi ibadah, bukan menghitung sedikit atau banyaknya yang akan diperoleh.
Kesimpulan
Kita hendaklah mengambil kesempatan di alam kehidupan ini untuk melakukan amal soleh. Moga-moga kita menjadi hamba yang diredhai-Nya dan termasuk dalam golongan yang berjaya di akhirat kelak

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...