PELAYARAN...?

Kehidupan manusia bagaikan seorang pelayar yang belayar dalam sebuah bahtera. Pelayaran itu sudah semestinya mempunyai destinasi untuk ditujui. Namun begitu, sebelum sampai ke destinasi tersebut, sudah pasti bahtera itu akan singgah mengisi bekalan dan keperluan di pelabuhan - pelabuhan yang terdapat di sepanjang perjalanan. Pelayar yang baik sudah pasti akan singgah di pelabuhan tersebut dan hanya mengambil bekalan dan keperluan secukupnya. Pelayar yang tamak pula bukannya mengambil bekalan dan keperluan yang sepatutnya tetapi akan membawa muatan harta kekayaan yang terdapat di pelabuhan itu. Pelayar yang tidak mempunyai ilmu mengenai pelayaran pula pasti tidak akan mengambil endah tentang persinggahan itu. Dia hanya turun daripada bahteranya dan menikmati keindahan dan keseronakkan yang terdapat di pelabuhan yang menjadi persinggahannya. Dia tidak mempedulikan hakikat bekalan dan keperluan pelayarannya yang sedikit dan hampir habis itu.

Hakikatnya manusia di dunia ini tergolong dalam tiga jenis pelayar seperti di atas. Manusia yang beriman sudah pastinya mempunyai sikap seperti pelayar yang pertama. Orang yang beriman akan menjadikan dunia ini sebagai tempat mengisi bekalan yang berupa amal ibadah dan perkara kebajikan untuk menuju ke arah perhentian yang hakiki iaitu syurga Firdausi. Manusia yang hanyut dalam mengumpul harta kekayaan pula diibaratkan seperti pelayar yang kedua. Manusia seperti ini pasti akan tenggelam dalam nikmat yang sementara dan tidak akan mampu menjejakkan kaki hingga ke penghujung pelayaran. Dan sementara itu, golongan yang paling celaka pula ialah manusia yang hanya menjadikan dunia ini sebagai tempat berseronok - seronok dan bersuka ria sahaja tanpa memikirkan tujuan dan hala tuju kehidupannya. Mereka pastilah akan terleka dan terpedaya dengan nikmat yang sementara itu.

Wahai teman, di manakah kedudukan kita? Di golongan manakah letaknya diri kita? Bangkit dan sedarlah dari lena mu. Tetapkan hala tuju dalam kehidupan kita. Semoga kita akan selamat dalam pelayaran penuh pancaroba dan dugaan ini. InsyaAllah...

Salam
Asran O.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...