AKU TAK BERSALAH

Aku tertarik untuk mengulas sedikit satu berita hangat yang keluar dua tiga hari yang lalu iaitu kes seorang bayi yang ditikam bertubi - tubi oleh ibunya sendiri sebelum disumbat di dalam baldi. Bagi aku, perkara ini sangat kejam. Sangat tidak berperikemanusiaan. Namun, dalam mengadili perkara ini, kita seharusnya menyelidiki secara teliti mengapa si ibu itu tergamak melakukan perkara tersebut kepada anak yang dikandungnya selama sembilan bulan itu. Aku terbaca berita mengenai susulan kes itu semalam, berita melaporkan bahawa si ibu itu melakukan perkara yang demikian akibat ditinggalkan oleh suaminya. Jika ia benar, malang sekali nasib si ibu itu. Ternyata, yang perlu dipersalahkan dalam hal tersebut ialah si suami yang tidak bertanggungjawab. Sudahlah si ibu itu merupakan pelarian politik di negara kita, ditinggalkan pula oleh si suami di saat dia sedang sarat mengandung, dan tentunya dengan keadaan yang tidak stabil disaat melahirkan anak itu, si ibu tidak dapat mengawal emosi dan tindakannya yang akhirnya menjadikan si bayi malang itu tempat melepaskan geramnya.

Bagaimanapun, si ibu itu sepatutnya menjadi lebih bertanggungjawab terhadap 'amanah' Allah itu. Tindakan membunuh anak yang tidak berdosa itu bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah malahan menjadikan masalahnya lebih parah. Lebih parah kerana bukan sahaja berdepan dengan mahkamah dunia, dia akan berdepan dengan pengadilan yang lebih besar di mahkamah Allah kelak.

Kalau mahkamah di dunia ini, mungkin hanya dia yang dikenakan hukuman, tetapi aku percaya di mahkamah Allah kelak, tentu akan ada lebih ramai lagi 'suspek' yang akan terlibat. Suaminya, sanak saudaranya, jirannya, malahan silap - silap kita sebagai pembaca berita juga akan terheret sama. Si suami jika didapati bersalah kerana lari dari tanggungjawab pasti akan dihukum. Sanak saudara dan jiran tetangga yang tidak mengambil kisah dan membantunya disaat dia memerlukan, tentunya akan terkena tempias sama.

Kita sendiri, yang membaca berita dan kemudian menghukum wanita tersebut dengan mengeluarkan kata - kata yang kesat, jangan harap terlepas. Kita sepatutnya lebih rasional dan berhemah dalam menangani hal tersebut. Jangan terus menghukum kerana kita bukannya tahu sangat perkara yang sebenar kan. Sepatutnya kita berdoa semoga si ibu bertaubat dan menyesali perbuatannya, kita bersangka baik bahawa disaat dia melakukan perbuatan itu- dia sebenarnya dalam keadaan yang tertekan dan tidak stabil. Dari sudut pandangan aku, aku dapati ada beberapa hikmah dan pengajaran yan kita boleh ambil dari kejadian yang menyayat hati itu. Antaranya ialah :

1. Jangan biarkan diri diselubungi dengan tekanan dan emosi yang tidak stabil. Lebih - lebih lagi dalam keadaan kritikal seperti mengandung dan sebagainya.
2. Cari pasangan (baca ; suami ) yang bertanggungjawab. Jangan pandai buat lepas tu lari.
3. Kongsi masalah dengan rakan atau ahli keluarga agar tidak terlalu tertekan.
4. Rapatkan diri dengan Allah. Jangan sekali - kali putus harapan.
5. Sebagai masyarakat, janganlah kita hanya tahu menghukum sahaja. Sebaliknya kita harus bersama - sama dalam menangani masalah tersebut agar ianya tidak berulang lagi.
6. Sebarang keganasan ( pembunuhan, penderaan ) terhadap orang yang tidak berdosa, tidak akan dapat menyelesaikan masalah.

Semoga si ibu yang malang itu bertaubat dan menyesali atas perbuatannya. Dan si anak yang sah - sah menjadi ahli syurga itu sudi memaafkan ibunya itu dan memberikan syafaatnya nanti. InsyaAllah...amin..

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...