BAB 6 ( AKHIR ) : KEPUTUSAN YANG PASTI

Luqman memanjatkan kesyukuran kepada Allah. Mulutnya tidak henti - henti mengucapkan hamdalah sejak keluar dari dewan peperiksaan tadi. Dia akhirnya berjaya juga menghabiskan kesemua kertas peperiksaan yang diambilnya untuk semestar itu. Kertas Sejarah Bahasa Melayu yang diambilnya tadi merupakan kertas terakhir baginya. Sekalipun kurang yakin dengan satu dua jawapannya, namun secara keseluruhan dia berpuas hati dengan usahanya. Untuk lulus, rasanya tidak menghadapi masalah. Ini kerana kebanyakan bentuk soalan yang keluar, pernah dibincangkan dalam kelas sebelum ini biarpun tidak seratus peratus sama. Luqman tersenyum ceria. Dia melihat rakan - rakan sekelas juga sama. Semua menguntum senyuman lebar. Ini bermakna semua rakannya tidak menghadapi masalah pada kertas peperiksaan tadi. Luqman tercari - cari kelibat Zamree, dia ingin mengajak teman baiknya itu keluar untuk makan tengahari bersama - sama. Pandangan dihalakan ke arah ruang parkir kereta. Sekilas dia dapat menangkap susuk tubuh temannya itu sedang berjalan menuju ke arah 'transformer' kesayangannya. Luqman cuba mempercepatkan langkahnya untuk mengejar Zamree.

" Zam!!" laung Luqman. Zamree menoleh ke belakang sejurus mematikan langkahnya. Kelihatan Luqman yang tersenyum lebar sedang berjalan ke arahnya sambil menunjukkan isyarat mengajak untuk keluar makan.

" Kita solat Zohor dulu di surau then kita pegi makan, ok? " Balas Zamree sebaik Luqman sudah tiba di sebelahnya. Luqman mengangguk setuju.

" Set! "

***

Mereka tiba ke Restoren Hashim, sebuah restoren yang menghidangkan pelbagai makanan Jawa yang popular seperti bakso, sup tulang, urat dan hidangan utama yang cukup laris iaitu rojak. Rojak di restoren ini begitu disukai oleh ramai orang. Malahan jika kurang bernasib baik, belum pun menjelang petang, rojak yang mempunyai kuah kacang yang lain dari yang lain itu telah pun habis dijual. Luqman dan Zamree memilih untuk duduk di kawasan tepi restoren, berdekatan dengan gerai penjual pisang goreng. Seperti biasa, Luqman memesan rojak daging kegemarannya manakala Zamree pula rojak ayam. Sebaik sahaja pesanan mereka sampai, tumpuan mereka hanya terhala ke arah makanan yang dipesan. Mereka makan tanpa banyak berbicara. Mungkin akibat terlalu lapar disebabkan banyak memerah otak menjawab soalan peperiksaan tadi. Keduanya begitu khusyuk menghabiskan hidangan masing - masing.

" Aku balik lusa, hari Sabtu nie. Kau bila? " Luqman memulakan bicara sebaik meletakkan sudu di atas pinggan yang telah pun kosong.

" Entahlah..aku rasa macam mau berjalan -jalan pulak cuti - cuti nie. Hmm, apa kata aku ikut kau balik pegi Sandakan cuti nie? Lepas duduk rumah kau tiga empat hari macam tu, aku ingat nak singgah Lahad Datu, Tawau dan Semporna. Saja - sajalah mau jalan - jalan. Amacam? Kau dah beli tiket bas ke? " Zamree memberikan pandangannya.

Luqman kelihatan ceria sebaik mendengar kalam Zamree. " Ok sangatlah macam tu. Lagipun dapatlah kau ikut sekali rombongan aku pegi bertunang nanti. Jadi taklah aku nervous sangatkan.."

" Bah, jadi confirm lah nie kan? Sabtu pagi kita bertolak. Kita ganti - ganti drive. " Zamree memberi cadangan.

Luqman menggaru sedikit kepalanya. " Kau nak bawa 'transformer' kau tu pegi Sandakan? Tahan ke tu? Nanti enjinnya panas dan meletup, naya je nanti " luah Luqman, agak sedikit ragu dengan kemampuan kereta 'transformer' Zamree.

" Ish, bukanlah dengan yang itu. Kalau itu, tak sempat sampai Tuaran, meletup sudah dia..haha..aku pinjam kereta kakak aku, Viva. Barulah selesa sikitkan.." Zamree tersenyum lucu. Dia sedikit tertawa mendengar ucapan Luqman yang ragu tadi.

" Oh! hehe....sori...sori...haa, ok lah macam tu..ngamlah kita bertolak Sabtu nie, sebab esok aku ada sedikit urusan lagi yang nak diselesaikan. " Luqman akhirnya bersetuju dengan cadangan temannya itu.

Baginya, cadangan Zamree itu ibarat orang yang mengantuk disorongkan bantal. Selain ada teman menemaninya pulang ke rumah, dia juga sebenarnya memerlukan seseorang yang sangat rapat dan yang memahami untuk sentiasa berada disisinya dari saat itu hinggalah ke saat dia bertunang nanti. Dia mahukan ada seseorang yang memberikan sokongan dan kata - kata penguat semangat sepanjang tempoh itu, manalah tau tiba - tiba sahaja dia berubah fikiran pada hari pertunangannya nanti! Dengan keadaan dirinya yang berada dalam dilema, apa - apa sahaja keputusan yang diluar jangkaan mungkin tiba - tiba muncul di benaknya saat itu. Justeru itu, Luqman hanya ingin mengambil langkah berjaga - jaga. Dia mahu ada orang yang memantau dan menahannya jika dia membuat keputusan yang akan melukakan dan memalukan banyak pihak.


***

Luqman berada dibiliknya. Dia sedang mengemaskan barang -barangnya untuk disimpan di stor. Dia hanya membawa satu beg pakaian untuk pulang esok. Luqman sedikit keletihan. Siangnya tadi, dia keluar untuk membeli sesuatu. Kemudian, pada petangnya dia bermain futsal dengan rakan - rakannya. Dan malam ini, sesudah kembali dari surau dan makan malam, dia terus mengemaskan barang - barangnya. Dia ingin berehat awal kerana esok, sesudah sahaja solat subuh, dia dan Zamree akan bertolak pulang ke Sandakan. Perjalanan yang memakan masa hampir 5 jam setengah itu tentunya akan sangat meletihkan dan merimaskan.

Luqman terpandang sebungkus beg hadiah diatas mejanya. Dia tersenyum sendirian. Dia berkira - kira, selepas sahaja siap mengemas, dia akan pergi ke bilik Jamaludin. Dia akan menyerahkan beg hadiah itu kepada junior merangkap teman sekelas Aneeqa. Esok merupakan hari ulangtahun kelahiran Aneeqa. Dia mahu Jamaludin memberikan beg hadiah yang mengandungi sebuah buku motivasi berjudul ' Jadilah Wanita Yang Paling Bahagia ' karangan penulis Arab terkenal, Dr Aidh Qarni - sekotak haruman jenama Onedrop - senaskhah Al - Quran sebesar setengah tapak tangan - sebungkus coklat - dan tak lupa juga sekeping kad yang comel yang hanya diisi dengan perkataan ikhlas dan nama Luqman dalam tulisan jawi itu kepada Aneeqa.

Hadiah yang dipilih Luqman itu sebenarnya mempunyai makna yang tersirat di sebalik setiap item berkenaan. Luqman memilih sebuah buku kerana dia tahu hobi Aneeqa adalah membaca, malahan dia sendiri memang suka menghadiahkan teman - teman kesayangannya dengan buku kerana Luqman berpendapat bahawa hadiah buku itu lebih bermanfaat kepada si penerima berbanding hadiah lain seperti teddy bear dan sebagainya. Sekotak haruman pula dipilih bagi simbolik kepada syurga. Ini kerana, syurga biasanya dikaitkan dengan haruman dan wangian. Jadi pemilihan sekotak haruman itu menggambarkan doa dan harapan Luqman agar Aneeqa sentiasa beristiqomah dalam menjaga keperibadian dan beramal islami agar dapat menjadi penghuni dan bidadari di dalam syurga kelak. Dan, agar Aneeqa sentiasa mempunyai 'teman' untuk mengingati dan menjaganya selalu, Luqman menghadiahkan senaskhah Al -Quran kepadanya. Luqman mahu Al - Quran itu menjadi peneman Aneeqa dimana -mana sahaja. Semoga dengan menjadikan Al - Quran sebagai teman terbaik dalam hidup, Aneeqa akan sentiasa dapat membatasi dirinya daripada terpengaruh dan terjebak dengan dunia yang semakin melalaikan.

Luqman menarik nafasnya. Dia memilih item - item tersebut bukanlah bertujuan untuk menunjuk -nunjuk bahawa dirinya baik ataupun alim, tetapi kerana dia memang benar - benar ikhlas dan dia mahu hadiah yang diberikannya itu sarat dengan harapan dan doa buat Aneeqa. Bagi Luqman, sekalipun dia akan bertunang nanti tetapi dia tetap akan terus mendoakan yang terbaik buat diri Aneeqa. Biarpun redha dengan keputusan yang dia ambil untuk bertunang dengan gadis bukan pilihan sendiri, namun itu tidak bermakna dia tidak boleh mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan Aneeqa dunia dan akhirat. Luqman tahu bahawa Allah telah menetapkan jodoh setiap anak Adam itu sejak azali lagi, tetapi sebagai manusia yang lemah tentunya kita sendiri tidak mengetahui siapa jodoh kita. Oleh yang demikian, bukanlah menjadi kesalahan bagi setiap manusia itu andainya mereka jatuh cinta pada orang yang bukan jodoh mereka. Luqman juga begitu. Dia sendiri tidak pasti siapa jodohnya, kerana bertunang sahaja bukanlah tiket untuk menjamin perkara itu. Manalah tahu suatu hari kelak, dia tidak jadi berkahwin dengan tunangnya itu. Malahan tidak mustahil bahawa Aneeqa itulah jodohnya yang sebenar. Kerana itu Luqman tidak menyesal jatuh cinta dengan Aneeqa. Harapannya tetap subur dan berkembang selagi dia belum bernikah dengan sesiapa pun lagi.

Dua lagi item yang dipilihnya - sebungkus coklat dan sekeping kad ucapan - adalah sebagai meraikan diri Aneeqa sebagai gadis biasa yang punya kehendak dan kesukaan sendiri. Luqman mengagak, pasti gadis seusia Aneeqa suka menerima hadiah coklat dan kad. Lalu, Luqman sengaja memilih untuk menghadiahkan Aneeqa dengan coklat dan kad itu. Semua item - item yang dipilihnya, Luqman kumpulkannya dalam satu beg hadiah. Dan beg hadiah itu, Luqman mahu Jamaludin menyerahkannya esok. Sudah menjadi kebiasaan Luqman dan Aneeqa, andai ada barang yang ingin diserahkan, mereka akan meminta Jamaludin untuk menjadi orang tengah. Sepanjang perkenalan mereka, sekali pun mereka tak pernah lagi bercakap di dalam telefon apatah lagi bertemu berdua. Keduanya masih tetap seperti sebelum mereka berdua berkenalan dulu, sentiasa mengelak untuk bertembung. Jika mereka kebetulan melalui jalan yang sama atau terpaksa berdepan akibat tiada pilihan jalan lain, masing - masing hanya menunduk atau memandang ke arah lain. Menjeling atau mengerling jauh sekali. Entah mengapa, kedua - duanya dibalut perasaan segan dan malu yang begitu tebal sekalipun sudah mengenali diri masing - masing.

Luqman memandang jam pada telefon bimbitnya, sudah menunjukkan angka 11.30 malam. Sudah cukup lewat. Luqman cuba mengemaskan barangnya sepantas yang boleh. Dia mahu menyiapkan semua urusannya dan kemudian masuk tidur seawal yang boleh. Dia mahu memastikan dirinya segar untuk perjalanan panjang esok.

***

Azan subuh telah berkumandang. Luqman tersedar. Dia terlewat bangun dari tidurnya pagi itu. Jika tidak kerana azan tersebut, mungkin dia masih lagi hanyut dalam mimpinya sebentar tadi. Luqman yang sedikit kebingungan dan kelihatan mamai akibat tersentak dari tidur, pantas bingkas untuk mandi dan bersiap pergi berjemaah di surau. Dia sudah berjanji dengan Zamree, sebaik sahaja usai solat subuh mereka akan terus bertolak pulang.

Luqman memandang Zamree yang menyandar keletihan di kerusi sebelahnya. Dia baru sahaja mengambil giliran Zamree untuk memandu. Zamree yang memandu sejak dari Kota Kinabalu hingga ke Ranau tadi kelihatan tersenguk - senguk dalam lenanya. Mungkin akibat keadaan jalan yang tidak rata menyebabkan tidurnya sedikit terganggu. Luqman memperlahankan sedikit 'volume' pemain mp3 kereta agar tidak terlalu kuat. Luqman memberikan sepenuh perhatian kepada pemanduannya. Di jalan yang sempit dan berbukit - bukit itu, setiap saat adalah berbahaya. Keadaan jalan raya sepanjang Ranau - Sandakan itu juga diwarnai dengan pelbagai bentuk selekoh yang kadang kala begitu tajam, yang seandainya tidak memiliki kebolehan dan kemahiran dalam pemanduan, pasti akan mengundang padah. Ditambah lagi dengan banyaknya lori - lori dan treler - treler panjang yang berada di jalan raya, tentunya perhatian penuh terhadap pemanduan amat dititk beratkan.

Namun akibat kesunyian memandu keseorangan, fikiran Luqman akhirnya hanyut juga. Dia teringatkan mimpinya semalam. Sejak mimpi ajaibnya bertemu dengan pemuda soleh beberapa bulan lalu, ini adalah kali pertama dia bermimpi sesuatu yang pelik dan sangat membingungkan dirinya. Semalam dia bermimpi tatkala dia sedang tidur ( Luqman sendiri tidak pasti jika dia bangun atau tidak dalam mimpi itu, tetapi yang pasti dia sedang berbaring di katilnya ) di biliknya, masuk dua ekor burung kecil dari arah tingkap biliknya yang terbuka. Dua ekor burung itu kemudiannya berlegar - legar di atasnya. Selepas itu, keduanya hinggap di telapak tangan kanannya. Luqman terpesona dengan dengan kejinakan burung berkenaan. Luqman tidak dapat mengenali apakah jenis burung itu. Kerana tertarik dengan burung yang begitu jinak itu, Luqman berniat mahu menangkapnya. Ketika dia cuba mengenggam tangan untuk menangkap burung berkenaan, tiba - tiba sahaja kedua burung itu terbang dari telapak tangannya lantas meluru keluar ke arah tingkap bilik. Luqman hampa kerana tidak berjaya menangkap kedua - dua atau pun sekurang - kurangnya salah seekor dari burung berkenaan. Ketika dia sedang kebingungan dan berasa hampa itulah dia terdengar suara azan dan serentak dengan itu dia terus terjaga dari tidurnya.

" Luqman....."

Luqman tidak mengerti apakah yang cuba disampaikan melalui mimpinya itu. Adakah ianya hanya mainan syaitan ataupun memang benar - benar ada maksud yang tersembunyi?

" Luqman....ada lori nak potong kat depan tu.." Zamree bersuara.

Luqman membisu. Jika mimpinya benar, apakah maksud semua itu? Adakah kedua ekor burung dalam mimpinya itu melambangkan dua gadis yang sejak kebelakangan ini sentiasa bermain dalam fikirannnya? Adakah ianya melambangkan Aneeqa dan Naurah? Luqman sendiri tidak pasti.

" Luqman, elak! " Jerit Zamree.

Luqman tersentak. Telinganya menangkap sebuah bunyi hon yang kuat disertai dengan bunyi tayar yang sedang bergeser dengan tar jalan. Serentak dengan itu, pandangannya yang sebelum itu diisi dengan imej - imej dalam mimpinya semalam terus hilang dan diganti dengan imej yang menakutkan. Sebuah lori yang dihadapannya tertulis Sinaran Ais Sdn. Bhd. muncul dipandangan Luqman. Spontan pada saat itu, Luqman memusingkan stereng kereta tersebut ke arah kiri jalan, menyebabkan kereta itu meluncur dan merempuh besi pengadang jalan yang terdapat di tepi jalan itu sebelum melanggar sebatang pokok besar. Kereta berkenaan remuk teruk di sebelah bahagian pemandu. Keadaan jeda seketika. Zamree membuka matanya. Bahagian belakang badannya terasa sakit. Dia merasakan dahinya sedikit pedih. Dia memegang dahinya yang berdarah akibat terhantuk pada 'dashboard' kereta. Namun, dia bersyukur kerana lukanya hanya kecil. Zamree menoleh ke arah kanannya. Dia cemas melihat keadaan Luqman yang terbaring tidak bergerak pada stereng kereta. Kepala dan badan Luqman dibasahi oleh darah. Dalam kepayahan dan kesakitan, Zamree cuba mendapatkan Luqman. Dia menggoyang - goyangkan badan Luqman sambil memangil - manggil namannya.

Perlahan Luqman membuka matanya, dia memandang Zamree. Luqman begitu lemah dan tidak bermaya. Zamree cemas dan sayu melihat keadaan Luqman. Zamree cuba menenangkan Luqman.

" Man, sabar man...bertahan ya..sekejap lagi aku cuba telefon ambulan ok...bertenang sahabatku.." ucap Zamree sayu. Matanya mula menitiskan titis - titis air hangat. Dia cuba menyapu airmatanya itu. Dia tidak mahu Luqman melihatnya menangis. Dia memangku Luqman. Nafas Luqman kelihatan tersekat - sekat. Dadanya kadang kala terangkat menahan pedih kecederaan yang dialaminya.

Zamree mencapai telefon bimbitnya lalu menelefon talian kecemasan. Setelah memberitahu keadaan dan lokasi mereka, Zamree memutuskan talian. Dia melihat mulut Luqman bergetar, seakan - akan ingin bersuara namun tidak berapa jelas dan kedengaran. Zamree mendekatkan telinganya ke bibir Luqman.

" Zamree, ma...maafkan aaaku...aku cuuaaii..." Luqman bersuara lirih.

" Tak payah cakap banyak sekarang man. Kau kena bertahan ya...simpan tenaga tu.." Zamree cuba menahan suaranya yang mula bergetar menahan tangis.

" Zam..maafkan aku ya..aku betul - betul minta maaf. Zamree,...aaku rasaaa dah sampai saatnyaaa aku pergi.." semakin lama suara Luqman semakin perlahan.

"....aku nak minta tolong dengan kau..tolong sampaikan salam kerinduan dan kemaafan buat ibuku jika kau berjumpa dengan dia. Katakan padanya, aku begitu merindui untuk bertemunya, dan aku minta maaf sebab tidak sempat menunaikan hajatnya...tolongnya ya Zam..." pesan Luqman terputus - putus.

" InsyaAllah Man...aku cuba.." Zamree sudah menangis teresak - esak. Dadanya begitu sebak mendengar pesanan teman baiknya itu.

"...ada satu lagi pesan aku....tolong sampaikan salam aku kepada Aneeqa..katakan padanya aku minta maaf kerana tidak mampu bersamanya untuk membina impian. Dan, aku ingin kau beritahunya bahawa aku mencintainya dunia dan akhirat...." Luqman terhenti. Wajahnya sudah dibasahi dengan darah.

" ...andai bukan disini, aku akan tunggunya di 'sana'...." sambung Luqman dengan nafas yang bersisa.

Zamree mengangguk tanda menerima amanah tersebut. Luqman semakin lemah. Dadanya sudah bergerak perlahan - lahan. Nafasnya juga semakin terputus -putus. Zamree mendekatkan bibirnya ke telinga Luqman.

" Asyhadualla ilaha illallah...wa asyhadu anna muhammadar rasulullah.." bisik Zamree. Dengan perlahan dan tersekat - sekat namun jelas bunyinya, Luqman menuturkan kembali syahadah tersebut. Sebaik sahaja kalimah yang terakhir, dadanya mula berombak perlahan. Matanya lirih memandang Zamree, dia sempat menghadiahkan sebuah senyuman kecil buat teman baiknya itu. Perlahan matanya terpejam. Nafasnya menjadi semakin perlahan dan akhirnya terputus. Tangannya jatuh terkulai dari atas dadanya. Zamree menangis semahu -mahunya. Dia memeluk erat - erat tubuh Luqman yang basah dan hangat dengan darah merah itu. Luqman akhirnya pergi menghadap Penciptanya Yang Esa. Luqman pergi buat selamanya dan tidak akan kembali lagi. Membawa pergi bersamanya hajat ibu yang tidak kesampaian. Membawa pergi bersama dengannya cinta hati yang ikhlas dan tulus.

Maafkan aku ibu........
Aku pergi tak kembali lagi...
Membawa hajat yang tidak mampu ku sudahi...
Tapi ku pasti jika punya kesempatan diberi...
Andai punya nyawa yang bisa ku pinjami...
Aku pasti bermati - matian berbakti....
Buat mu ibu yang ku sayangi...........

Maafkan diriku duhai kasih.....
Aku pergi meninggalkan dirimu sendiri...
Bukan pintaku begini...
Namun ku yakin ada hikmah tersembunyi...
Kenanglah daku dalam doa mu setiap hari....
Kerana biarpun terpisah oleh alam yang infiniti...
aku pasti tetap menanti mu disini....

LUQMAN HAKIM BIN MUHAMMAD FATEH



TAMAT

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...