BAB 2 : ILUSI MIMPI

Luqman kelihatannya sedang ralit menaip pada komputer riba kesayangan miliknya. Jari jemarinya begitu pantas dan tangkas menekan kekunci aksara komputer riba berjenama Acer itu. Dia sebenarnya sedang bertungkus lumus menyiapkan 'proposal' Kajian Tindakan yang merupakan salah satu syarat kursus bagi setiap pelajar tahun akhir sepertinya. Terdengar perlahan dari pembesar suara komputer ribanya itu suara gemersik dan menyentuh qalbu milik qari terkenal dari Kuwait - Al - Qari' As - Syeikh Mishari Rashid Al - Afasy - sedang mengalunkan kalamullah. Telinganya menangkap baris - baris ayat yang sedang dibacakan. Dia ingat benar surah yang dibacakan itu. Malahan surah yang sedang dialunkan penuh penghayatan itu mempunyai kaitan dengan dirinya. Arwah ayahnya memilih nama surah berkenaan untuk diabadikan pada namanya. Arwah ayahnya mahu dia mempunyai akhlak dan hikmah yang dimiliki oleh seorang manusia yang dimuliakan Allah - Luqman Al Hakim - yang nasihat - nasihatnya begitu terkenal dan penuh berhikmah. Allah merakamkan nasihat - nasihat itu yang ditujukan kepada anak kesayangannya yang merupakan surah yang ke 31 mengikut turutan dari permulaan susunan dalam Al Quran.

12. Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmat kepada Luqman, yaitu: "Bersyukurlah kepada Allah. Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji."

13. Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar."

14. Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu- bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah- tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu.15. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Kuberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.

Hatinya tersentuh. Ternyata biarpun nasihat - nasihat itu sudah berusia ribuan tahun sejak diturunkan oleh Allah dalam Al - Quran, nasihat itu tetap malar segar dan relevan bagi setiap manusia. Nasihat yang dimulai dengan perkataan ' hai anakku ' itu, menggambarkan betapa lemah lembutnya nasihat yang diberikan oleh Luqman Al Hakim kepada anaknya. Dan hati Luqman sebenarnya tersentuh dengan nasihat supaya berbuat baik kepada ibu bapa dan wajib berbuat baik kepada kedua mereka. Berbuat baik itu termasuklah menuruti segala perintah mereka selagi ianya tidak bercanggah dengan tuntutan syarak. Menuruti segala perintahnya? Luqman termenung seketika. Jari jemarinya jeda. Dia lantas teringat perbualannya dengan Zamree selepas isyak tadi.

" Petang tadi, aku tengah duduk kat hostel. Tiba - tiba mak aku 'call'. Untuk pengetahuan kau, 3 minggu lepas mak aku menyuarakan hajatnya dengan aku. Dan petang tadi mak aku telefon untuk mendengar persetujuan aku........" Serentak dengan itu, Luqman melepaskan sebuah keluhan yang agak berat.

" Apa hajat mak kau tu? "

" Er...dia nak tunangkan aku dengan anak kawan dia kat kampung! " teragak - agak Luqman menuturkan ayat tersebut.

Seperti yang dijangkannya, temannya itu tertawa sebelum menekup mulutnya selepas melihat Luqman 'menaikkan' keningnya tanda tak senang dengan responnya. Tapi mulutnya seperti tidak boleh dikatup. Tawanya tetap pecah sekalipun bertutup dengan kedua belah tangannya. Selepas 10 saat kemudian, baharulah dia melepaskan tangannya. Dia tersengih memandang Luqman.

" Aku dah agak dah! mesti tentang perempuan....hehehe...jadi apa masalahnya? kan itu rezeki namanya..? " tanya Zamree tanda tidak mengerti apa masalah sebenar temannya itu.

" Aku sebenarnya takda masalah. Aku pun 'single' kan, so aku tak kisah sangatlah. Cumanya, aku kurang berkenan dengan pilihan mak aku tu...."

" Kenapa" "

Luqman memandang wajah Zamree. Zamree masih setia menanti jawapan daripada Luqman.

" Em...gadis pilihan mak aku tu tak bertudunglah. Lagipun dia tu berasal dari keluarga yang berada dan pernah tinggal di luar negara. Dan menurut maklumat yang aku perolehi, gadis tu agak sosial dalam pergaulannya. Kaki 'clubbing'...."

Zamree sedikit tercuit mendengar ayat 'menurut maklumat yang aku perolehi...'. Macam detektif je kawan aku nie, bisik hatinya.

" Dah tu, kenapa kau tak ceritakan saja perihal perempuan tu kat mak kau? Kau cakap je lah...ka senang je tu.."

" Ermm...kalaulah semudah itu.." getus Luqman perlahan.

" Sebenarnya macam ni, mak aku dan mak gadis tu merupakan kawan baik dahulu. Keluarga gadis tu tinggal berjiran dengan kami sewaktu di kampung dulu. Tetapi sebaik sahaja bapanya dinaikkan pangkat, mereka terpaksa berhijrah ke luar negara. Nak dijadikan cerita, mak aku dan mak gadis tu pernah berjanji untuk menjodohkan kami berdua sejak kami kecil lagi. Sebabnya, mak aku tu terhutang budi dengan keluarga mereka sebab sejak kematian arwah ayah aku, merekalah yang banyak membantu kami sekeluarga. Dan biarpun mereka sudah berpindah ke luar negara, mereka tetap meneruskan hubungan dengan keluarga kami. Malahan, kadang - kala mak gadis tu turut menghantar sedikit wang belanja kepada mak aku kerana mereka tahu keadaan kami agak susah. Yalah, mak aku hanya bekerja sebagai tukang sampah untuk majlis perbandaran kan, tentunya gajinya tidaklah cukup untuk menyara kami lima beradik. Cumanya sejak aku masuk ke IPG ni, bebanan mak aku dah kurang sedikit. Berbekalkan elaun RM 700 sebulan tu, dapatlah aku membantu belanja sekolah adik beradik aku yang lain. Dan sejak itu, aku sebagai anak lelaki sulung berasa sangat bertanggungjawab untuk membantu keluarga aku. Alhamdulillah dua tahun yang lepas, kakak aku dapat pekerjaan sebagai kerani di sekolah. Dengan gajinya dan sedikit elaun aku itu, dapatlah kami bersama - sama menanggung keluarga. "

Luqman menarik nafas. Matanya agak sedikit berkaca. Memang latar belakang kehidupannya selama ini tidak berapa diketahui oleh teman - temannya di sini. Ini kerana, dia sendiri tidak pernah menceritakan hal berkenaan kepada sesiapa kerana dia tidak mahu orang di sekelilingnya bersimpati dengan dirinya. Dia mahu menunjukkan bahawa dia dan keluarganya tidak memerlukan simpati orang. Dia mahu membuktikan bahawa mereka boleh hidup berdikari tanpa bergantung harap dengan orang lain. Dan yang paling penting, dia mahu membuktikan kepada keluarganya sebagai anak lelaki sulung, dia mampu memikul tanggungjawab memimpin keluarga lebih - lebih lagi selepas pemergian ayahanda tercinta sejak lapan tahun yang lalu.

" Aku yakin, mak aku akan menolak alasan aku tu. Pastinya mak aku akan kata yang semuanya tu boleh dibentuk dan boleh diubah lepas kahwin nanti. Mesti dia akan suruh aku didiknya perlahan - lahan jadi isteri yang solehah. Bunyinya macam mudah dan indahkan. Mendidik seorang gadis yang jahil menjadi seorang isteri yang solehah..tapi bunyinya agak klise..Realitinya tidak semudah tu. Ini bukan cerita dalam novel atau drama. Ini realiti..." luah Luqman. Pundaknya terasa sedikit ringan. Hatinya sedikit lapang selepas meluahkan masalah yang menghambatnya beberapa minggu lepas.

Zamree menunduk. Dia dapat merasakan betapa terhimpitnya keadaan sahabatnya kala ini. Sahabatnya itu sedang berada dalam dilema, sama ada menjadi anak soleh a.k.a mithali dengan menurut kata ibunya dan sekaligus meletakkan sebelah kakinya di neraka kerana sekiranya dia gagal mendidik bakal isterinya itu dengan baik, tentunya dialah yang akan dihumban ke neraka dahulu kerana dia adalah ketua keluarga, dan tentunya dia bertanggungjawab penuh dalam urusan mendidik isteri dan anak - anak ke arah yang diredhai Allah. Atau pun dia boleh menolak hajat ibunya itu dan berterusan dirundung rasa bersalah seumur hidup kerana melukakan hati ibu yang bermati - matian mengandung dan melahirkannya selama ini. Zamree buntu. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu membantu temannya itu. Masalah Luqman lebih besar dari yang disangka. Zahirnya nampak mudah, tetapi hakikatnya ianya merupakan masalah yang sangat berat. Zamree hanya mampu menepuk bahu Luqman tanda meminta dia bersabar dengan dugaan yang dihadapinya.

***

Ting Tong! Ingatan Luqman terhadap perbualannya terganggu. Dia kini kembali ke dunia realiti. Bunyi pembesar suara di hadapan biliknya mematikan lamunannya. Sebuah pengumuman disampaikan oleh seorang ajk kolej kediaman yang mengingatkan kepada semua penghuni untuk hadir ke perhimpunan bulanan bersama Pengarah Kampus. Esok merupakan hari Isnin dan sudah menjadi rutin setiap Isnin minggu pertama, sebuah perhimpunan bersama dengan pengarah dan para pensyarah akan diadakan di dewan utama kampus. Perhimpunan yang kadang - kadang merimaskan gara - gara sesaknya para pelajar yang berhimpun dalam dewan yang kecil itu, biasanya akan dimulai pada pukul 8 pagi sebaik sahaja ketibaan pengarah dan para pensyarah kanan serta ketua - ketua jabatan. Luqman membiarkan sahaja pengumuman tersebut berlalu. Baginya, perkara seperti itu tidak perlu diingatkan kerana memang sudah tanggungjawab pelajar seperti dirinya untuk menghadiri setiap program yang diaturkan oleh institut.

Luqman menyudahkan ayatnya yang terakhir pada 'proposal' yang sedari tadi terhenti seketika pembikinannya. Dia mahu menghabiskannya secepat mungkin. Dia mahu membuat sedikit kerja yang diberikan oleh pensyarahnya sewaktu di kuliah siang tadi. Selepas itu dia mahu membaca seketika bahan - bahan untuk kelasnya esok. Dia sebolehnya mahu mempersiapkan diri dengan subjek yang akan diikutinya esok. Dia tidak mahu jadi seperti orang yang tidak tahu bila ditanya oleh pensyarah. Lagipun dia masak dengan pensyarah yang mengajar subjek Sejarah Bahasa Melayu itu, kebiasaannya pensyarahnya itu akan memulai kelas dengan bertanyakan beberapa soalan mengenai perkara - perkara yang telah dipelajari pada kuliah yang lepas dan yang berkaitan dengan topik hari itu.

Sebaik sahaja semua tugasan khalas, Luqman merebahkan diri ke katil. Teman sebiliknya sudah lama diulit mimpi. Dia mematikan lampu utama, dan hanya menghidupkan lampu meja sahaja. Luqman mahu menyambung membaca novel Tautan Hati karya Fatimah Syarha yang terputus semalam. Luqman sengaja membaca novel itu perlahan - lahan. Dia mahu menghadamkan setiap bait -bait ayat yang terkandung dalam novel yang setebal 785 halaman itu. Novel itu baginya mempunyai rohnya yang tersendiri. Hatinya yang kadang - kala gundah dan resah, pasti akan terubat dengan watak - watak yang baginya begitu Islamik dan sempurna.

***

Entah bila Luqman tertidur. Tautan Hati masih lagi terbuka dan menelentang didadanya. Luqman sudah nyenyak tidur. Dia sudah pun berada dalam alam mimpi. Dalam mimpinya, dia berada di tepian pantai yang indah dan cantik. Laut kelihatan membiru, ombak berlari - lari menuju pantai. Pasir yang memutih itu kelihatan bersinar dibasahi air laut. Pandangannya dihalakan ke arah laut yang saujana mata memandang. Sayup - sayup kelihatan seperti ada objek yang sedang timbul dari arah dalam laut. Perlahan - lahan objek tu semakin jelas. Dari pantai, Luqman dapat melihat seperti ada sebuah kapal selam tetapi ianya berbentuk pelik. Objek itu berbentuk seperti kubah masjid. Ya! Seakan -akan kubah masjid tetapi ukuran lilitnya lebih besar. Ianya bersinar seperti perak. Objek berkenaan kemudiannya menuju ke arah pantai perlahan - lahan. Luqman terpegun melihat keindahan objek itu . Dia tertanya - tanya apakah objek yang sedang dilihatnya itu. Sejurus sahaja sampai ke tepi pantai, objek berkenaan kemudiannya perlahan sedang terbelah dua. Luqman melihat dengan takjub peristiwa aneh itu. Seumur hidupnya dia tidak pernah melihat objek seperti itu. Hatinya tertanya - tanya adakah ianya sebuah kapal makhluk asing? Tetapi hati kecilnya menafikan kerana kebiasaannya makhluk asing akan menaiki kapal angkasa dan bukannya kapal selam. Sebaik sahaja objek berkenaan terbuka sepenuhnya, Luqman terkejut! Beberapa kali Luqman menggosok matanya tanda tidak percaya. Mulut Luqman terbuka terpelonggo sedikit, matanya membesar, bulu romanya menaik tegak. Spontan Luqman mengungkapkan tasbih.

Subhanallah! Ya Allah! Apakah semua ini?............

* bersambung.........................

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...