BAB 5 : KEHIDUPAN YANG DIMAMAH MASA

Jarak Luqman dengan Aneeqa - gadis bertudung ungu itu, semakin lama semakin dekat. Hanya beberapa kaki sahaja lagi sebelum mereka bertembung. Tiba - tiba.....

Vrroooommmm!!! Bunyi enjin kereta 'tranformer' Zamree yang sedang menghala ke surau mengejutkan mereka berdua. Serentak dengan itu, Aneeqa mendongak lantas menyedari kehadiran Luqman yang tidak jauh darinya. Aneeqa terkejut lalu menjatuhkan pandangannya semula. Dia mempercepatkan langkahan. Dia tidak mahu bertembung dengan Luqman. Luqman yang melihat keadaan itu kelihatan sedikit hampa. Niatnya mahu sengaja bertembung dengan Aneeqa tidak kesampaian. Dia sekadar mahu mencari alasan untuk memulakan perkenalan dengan gadis itu. Akhirnya, Luqman sekadar tergeleng - gelengkan kepala sambil tersenyum. Di dalam, hatinya berbisik mentertawakan dia. Luqman kalah lagi dengan bisikan nafsunya sendiri. Sepatutnya dia tidak berfikir seperti itu. Dia seharusnya menjaga pergaulan antara berlainan jantina. Perlahan, Luqman mengutuk dirinya sendiri. Dia kelihatannya agak menyesal berfikiran sedemikian.

Astaghfirullahal Adzim..Sepatutnya aku beryukur kepada Allah dan mengucapkan terima kasih kepada Zamree. Kalau Allah tak datangkan Zamree ketika itu, tentunya aku akan bertindak lebih jauh dari yang sepatutnya..desis Luqman perlahan.

Kereta milik Zamree yang dikenali sebagai 'transformer' oleh rakan - rakan dek kerana klasiknya bentuk kereta keluaran Datsun itu telah pun sampai ke perkarangan surau. Sekalipun telah berusia, namun kereta itu masih kuat dan gagah menyusur jalan. Malahan kereta itu juga amat berjasa kepada Luqman kerana sering sahaja dia meminta pertolongan Zamree untuk menghantar atau mengambilnya dari terminal bas ekspress setiap kali dia ingin pulang ke kampung. Luqman memperkemaskan langkahnya. Dua minit lagi waktu maghrib akan tiba. Dan Luqman tidak mahu membuang masa lagi. Dia mahu tiba ke surau dan mengalunkan azan pada petang itu. Sejurus kemudian, kedengaranlah suaranya memecah keheningan senja di institut itu, mengajak kepada semua muslimin untuk datang dan menunaikan solat di surau yang disayangi itu.


***

Sedar atau tidak, masa telah menelan kehidupan manusia setiap saat dan detik. Bagi manusia yang berjaya mengurus dan mengawal masa dalam kehidupan sehariannya, maka mereka sangat beruntung. Dan tentunya adalah malang pula bagi mereka yang menjadi hamba kepada masa, mengabaikan masa yang ada dengan melakukan perkara yang sia - sia atau pun terkejar - kejar ke sana ke mari akibat kesempitan masa yang ada sehingga mengabaikan tanggungjawab dan perkara yang lebih besar dari urusan dunia mereka. Benarlah firman Allah dalam Al - Quran menerusi surah Al - Asr bahawa setiap manusia itu semuanya berada dalam kerugian melainkan bagi mereka yang beramal soleh dan bagi mereka yang sentiasa berpesan - pesan ke arah kebaikan serta kesabaran.

Luqman melihat ke arah kalendar yang tergantung pada dinding pintu biliknya itu. Sudah masuk minggu kedua dalam bulan Mei, dan minggu itu merupakan minggu peperiksaan. Semua pelajar sedang menumpukan perhatian kepada peperiksaan termasuklah dirinya. Semester itu, dia akan menduduki tiga kertas mewakili tiga subjek yang diambilnya. Namun, fikiran Luqman tidaklah seratus peratus terarah kepada peperiksaan yang akan dihadapinya. Fikirannya sedikit bercampur baur. Memori ingatannya cuba mengingatkannya tentang perjanjian pertunangan yang diputuskan antara dia dan ibunya. Tinggal hanya beberapa minggu sahaja lagi, dia akan pulang untuk bercuti dan seterusnya melangsungkan pertunangannya bersama Naurah - gadis pilihan ibunya. Biarpun dia telah bersetuju dengan ibunya, namun dihati kecilnya dia masih ragu dengan keputusannya. Keraguannya itu bukanlah bermakna dia ragu untuk melakukan ketaatan kepada ibunya, tetapi lebih kepada keraguan memilih gadis sosial itu sebagai tunangnya dan sekaligus menjadi isterinya tidak lama selepas itu. Dia masih belum dapat meyakinkan dirinya yang dia akan berjaya mengubah sikap Naurah setelah berkahwin nanti. Baginya, sikap yang telah mendarah daging tentu akan susah untuk diubah apatah lagi dibuang. Dia tidak mahu digelar suami yang tidak tahu menjaga isteri. Diri sendiri bukan main hebat, berusrah di sana sini, bagi tazkirah itu ini tetapi isteri sendiri tidak bertudung, malahan sangat sosial pula dalam pergaulan. Na'uzubillahi min zalik. Luqman tertunduk lesu. Dia dapat merasakan jiwanya sendat dengan persoalan - persoalan seperti itu.

Sepanjang beberapa bulan dari awal hingga ke pertengahan tahun ini, pelbagai cabaran, dugaan, suka dan duka datang silih berganti menimpanya. Tetapi Luqman begitu tabah dan sabar menempuhinya. Bagi dirinya, semuanya itu hanya ujian tanda kasih sayang Penciptanya kepada dia. Tanpa ujian, tentu dirinya tidak akan menjadi tabah dan kuat seperti hari ini. Tanpa dugaan, tentu dirinya tidak akan menjadi matang dan dewasa seperti hari ini. Luqman begitu bersyukur, kerana disebalik ujian kepahitan yang melanda dirinya, dia turut menikmati beberapa kemanisan dalam hidupnya. Seperti gula - gula yang menghilangkan pahitnya ubat, putaran hidupnya juga begitu. Luqman terkenangkan seseorang. Sepanjang beberapa bulan yang lalu, dia sebenarnya tidak keseorangan memikul bebanan dugaan tersebut. Dia sebenarnya telah berkongsi semua pahit manis, berat ringan perkara yang terjadi dalam hidupnya dengan seseorang sekalipun hanya menjadikan sms dan internet sebagai medium perkongian. Luqman begitu gembira dan ceria dengan kehadirannya. Hati Luqman sebenarnya begitu berbunga tiap kali menerima perkhabaran dari si dia. Malahan jika lama tidak mendapat sms atau private message, jiwanya menjadi muram, hatinya menjadi kelam, dan membuatkan hidupnya pada hari itu kelihatan kelam.

Sejak pertama kali smsnya dijawab oleh gadis itu, hatinya melompat kegirangan. Hidupnya menjadi ceria. Dan setelah sekian lama berhubungan, terdapat garis - garis perasaan yang mula muncul dan menjalar ke hatinya. Bagaimanapun, Luqman tidak tahu apakah yang dirasai oleh gadis itu - kerana biarpun telah lama berkawan, mereka sekalipun tidak pernah membicarakan perkara yang melibatkan soal hati dan perasaan. Masing - masing cuba menjaga batas agar tidak berlebihan. Luqman sebenarnya kelihatan senang dengan keadaan seperti itu. Dia lebih suka berbicara perkara - perkara yang lebih santai dengan gadis yang dulunya hanya merupakan sebahagian daripada angan - angannya. Luqman seakan - akan tidak percaya apabila dapat berkenalan dengan Aneeqa a.k.a gadis bertudung ungu. Dia pernah merasakan perkara itu mustahil, namun kini ternyata ia tidak mustahil lagi. Luqman tersenyum mengingatkan bagaimana dia berjaya berkenalan dengan Aneeqa. Dia mendapat peluang itu ketika dia secara tidak sengaja terjumpa nombor telefon bimbit Aneeqa yang dipaparkan di papan kenyataan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP). Kebetulan, sebagai salah seorang exco dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), gambar dan biodata ringkas Aneeqa dilekatkan pada carta organisasi persatuan. Dibawah nama dan biodata Aneeqa itulah tercatat nombor telefon bimbitnya. Luqman yang kebetulan sedang lalu dihadapan HEP, terpandang sekilas wajah Aneeqa yang melekat pada carta organisasi itu. Lalu kesempatan itu diambil Luqman untuk memulakan cubaan beraninya berkenalan dengan gadis idamannya itu. Ternyata, usaha Luqman membuahkan hasil sebaik sahaja smsnya dibalas. Dari detik tersebut, bermulalah perkenalannya dengan Aneeqa Si Gadis Bertudung Ungu.

Namun begitu, Luqman sekali - kali pun tidak pernah menceritakan lagi mengenai kisahnya yang bakal bertunang pada pertengahan tahun itu. Luqman berasa serba salah mengenai hal itu. Dia ingin menceritakannya, namun dia bimbang andai Aneeqa mengelakkan diri daripadanya selepas itu. Luqman sangat menyenangi hubungannya dengan Aneeqa. Dia sebenarnya berharap bahawa gadis yang bakal menjadi tunangnya nanti biarlah Aneeqa. Dia mahukan seorang gadis sepertinya. Seorang yang lemah lembut, sentiasa menjaga pergaulannya dan yang paling penting seseorang yang istiqomah dalam beramal islami. Luqman dalam dilema. Antara Naurah - gadis plihan ibunya ataupun Aneeqa - gadis bertudung ungu yang menjadi pilihannya. Dia sedar, lambat laun dia perlu juga membuat keputusan. Keputusan yang tentunya akan menggembirakan satu pihak dan akan melukakan satu pihak yang lainnya. Sekiranya mungkin, Luqman lebih redha untuk tidak memiliki salah satu dari keduanya kerana dia tidak mahu mengecewakan sesiapa, hatta perasaan ibunya dan juga Aneeqa sendiri kerana dia tahu sekiranya dia memutuskan hubungannya dengan Aneeqa, gadis itu pasti tidak kan memaafkannya lagi seumur hidup. Luqman pasti akan hal itu kerana Aneeqa pernah memberitahunya tatkala menjawab soalan sama ada dia selesa dan suka berkenalan dengan Luqman atau tidak. Aneeqa menjelaskan bahawa dia selesa dan suka tetapi dia menegaskan kepada Luqman bahawa dia bukannya anak patung untuk dipermainkan. Aneeqa mahu Luqman ikhlas dalam menjalin hubungan dengannya. Dan sememangnya Luqman ikhlas dan bersungguh - sungguh dalam hal tersebut. Luqman tidak pernah menganggap hubungannya dengan Aneeqa sebagai permainan dan menjadikan Aneeqa sebagai anak patung yang mudah dimain - mainkan. Tidak pernah sekali - kali seperti itu. Luqman bukanlah lelaki berhidung belang. Luqman seorang yang ikhlas dalam perhubungan, kerana itulah dia rasa begitu bersalah berahsia dengan Aneeqa.

Luqman warawiri sendirian. Hatinya bercampur baur. Fikirannya berputar - putar. Tiba - tiba, dia merasakan pandangannya seperti bergoyang. Kepalanya mula terasa sakit pada bahagian kiri. Berdenyut - denyut. Kakinya seperti hilang kekuatan, Luqman yang berdiri terpaksa bergerak menuju ke katilnya. Luqman menghempaskan tubuhnya ke katil sambil tangannya memicit bahagian yang berdenyut di kepala. Matanya dipejam erat menahan pedih. Airmata terkeluar sedikit menandakan sakit yang ditanggungnya bukan kepalang. Luqman cuba bertenang. Dia menarik nafas dalam - dalam sebelum dihembuskan semula. Mulutnya terkumat - kamit membaca beberapa kalimat ayat - ayat Quran. Perlahan, denyutan di kepala sudah mula berkurangan namun masih terasa pedih dan sakit. Luqman mencapai botol air disebelah katilnya. Dia meneguk air tersebut setelah membaca beberapa kalimat doa dan selawat. Luqman berbaring menahan kesakitan. Mujurlah waktu itu dia berada dalam biliknya, jika dia berada di luar pastinya dia akan berada dalam kesusahan. Luqman masih memejamkan matanya Mulutnya pula membacakan beberapa potong ayat Quran yang dihafalnya, dalam usaha untuk menenangkan otaknya yang sedang perit menanggung sakit. Akhirnya, setelah beberapa minit, Luqman merasakan sakitnya mula menghilang dan tidak lama selepas itu, dia pun tertidur.....

*bersambung.........................

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...