BAB 4 : HIKMAH DIBALIK MIMPI

Sudah sebulan berlalu sejak berlakunya peristiwa mimpi ajaib yang dialami oleh Luqman. Luqman yang selepas sahaja peristiwa itu terus berjumpa dengan pensyarahnya untuk meminta pandangan mengenai mimpinya, masih lagi asyik memikirkan peristiwa itu. Hatinya seperti belum berpuas hati dengan penjelasan yang didengarnya. Jika mimpi itu benar, mengapa berlaku kepadanya? Padahal dirinya bukanlah seorang yang hebat sehingga memperolehi mimpi yang ajaib itu. Hari itu, ingatan Luqman mengimbas kembali peristiwa yang berlaku dalam mimpinya sebulan yang lepas. Sebaik sahaja dia melabuhkan tubuhnya di katil bilik sesudah usai solat zohor tadi, memorinya terus berputar. Figura pemuda soleh dan kubah ajaibnya silih berganti. Bicara pemuda itu yang begitu lembut dan sangat menekan qalbunya sehingga menyebabkan dia menangis semahu - mahunya, begitu jelas bermain di benaknya.

" Assalamualaikum ustaz, ustaz sibuk? " Sapa Luqman ketika dia masuk ke pejabat Ustaz Iqbal sebulan yang lepas, dalam usaha meminta penjelasan mengenai mimpinya pada malam itu.

" Waalaikumsalam Luqman. Sila duduk. Ustaz tak juga sibuk sebenarnya. Tengah menaip je sekarang nie. Ada hal ke? " Ustaz Iqbal menjawab ramah. Sememangnya kehadiran Luqman tidaklah begitu asing bagi Pensyarah Bahasa Arab itu kerana Luqman memang biasa menziarahinya di pejabat, sama ada untuk bertanya sesuatu atau sekadar duduk - duduk berbual mengerat silaturrahim.

Luqman segera duduk dihadapan Ustaz Iqbal. Dia masih kelihatan teragak - agak untuk menceritakan mimpinya. Luqman menarik nafas. Rasanya dia tidak mahu mengambil masa dengan banyak pensyarahnya itu kerana dia tahu bahawa beliau mesti sangat sibuk dengan pelbagai tugasan dan kuliah.

" Erm...begini sebenarnya ustaz. Semalam......" Luqman pun menceritakan peristiwa yang berlaku kepadanya semalam. Tidak ada satu pun bahagian yang tertinggal. Luqman menceritakannya dengan jelas. Dia tidak mahu berahsia, dia mahu pensyarahnya itu mendengar ceritanya dan dapat memberikan penjelasan yang jelas mengenainya.

Ustaz Iqbal mendengar dengan teliti semua cerita Luqman. Dia langsung tidak menyampuk. Dia membiarkan sahaja Luqman menceritakan semuanya. Hanya sesekali dia mengangguk dan bertanya, itupun pada bahagian yang dia rasakan kurang jelas. Selebihnya hanya Luqman yang bersuara.

" Jadi bagaimana pendapat ustaz? " Soal Luqman sebaik sahaja selesai bercerita.

Ustaz Iqbal kelihatan hanya memejamkan matanya sambil mengurut - ngurut perlahan janggutnya. Ustaz Iqbal kemudiannya membuka matanya lalu memandang Luqman sambil menguntumkan sebuah senyuman.

" Sebelum ni adakah mak Luqman menyatakan sesuatu kepada Luqman? Seperti meminta Luqman melakukan sesuatu ke, atau dia ada pernah menyatakan suatu hajat kepada Luqman, pernah? "

Luqman sedikit terkejut dengan soalan itu. Adakah mimpinya semalam ada kaitan dengan hajat ibunya yang mahukan dia bertunang dengan gadis pilihan ibunya itu? Luqman mengangguk perlahan. Dia dapat merasakan bahawa pesnyarahnya itu sudah dapat melihat hikmah dibalik mimpinya.

" Dia minta apa? " Soal Ustaz Iqbal lagi.

Luqman pun menceritakan mengenai hajat ibunya yang mahu menjodohkan dia dengan gadis bekas jirannya dahulu. Ustaz Iqbal hanya tersenyum lebar mendengar cerita Luqman.

" Beginilah, ustaz pun tak tahu nak kata macam mana dengan anta. Cumanya, ustaz rasa mimpi anta ada kaitan dengan hajat ibu anta. Dan kalau anta perasan, peristiwa yang berlaku dalam mimpi anta tu hampir sama dengan peristiwa Nabi Sulaiman bertemu dengan seorang pemuda yang taat kepada kedua ibubapanya. Balik nanti, cuba anta rujuk buku - buku kisah teladan di Pusat Sumber atau cuba cari di internet, mesti anta akan jumpa. Nasihat ustaz, cubalah berbincang baik - baik dengan ibu anta. Berbincanglah dengan baik agar dapat memperolehi keputusan yang memuaskan anta dan ibu anta. Jangan sakiti hatinya sekalipun anta tidak bersetuju dengan keputusannya. Ingat, al jannatu tahta li ummiyi qadam.." Ustaz Iqbal mengakhirkan kalamnya di situ.

Luqman begitu sayu. Merasakan bahawa dirinya telah derhaka kepada ibunya. Matanya mula berkaca - kaca, namun dia memaksa untuk tidak membiarkan airmata itu jatuh. Dia malu dengan pensyarahnya itu. Bukan malu kerana menangis dihadapannya, tetapi malu kerana tidak memahami hakikat sebenar hikmah mimpinya padahal ianya sangat jelas. Dia juga sudah pernah membaca kisah Nabi Sulaiman itu, tetapi mungkin jiwanya yang terlalu kotor menyebabkan dia buta untuk menafsirkan mimpinya itu.

Sejak kejadian tersebut sebulan lalu, fokus Luqman begitu terganggu. Fokusnya terhadap kuliah sudah mula menurun. Luqman sudah tidak lagi dapat menumpukan perhatian kepada kuliah yang disampaikan. Luqman lebih banyak termenung. Sesekali, Luqman menjadi bahan ketawa kawan - kawan apabila dia tidak dapat menjawab soalan - soalan yang dilemparkan kepadanya oleh pensyarah yang mengajar. Kesihatan Luqman juga merosot. Tubuhnya semakin mengurus dan sering sahaja mengalami demam dan sakit - sakit kepala. Luqman pula seperti hanya membiarkan dirinya begitu. Dia langsung tidak mengambil berat tentang apa yang berlaku terhadap dirinya lagi. Luqman sebenarnya telah pun menghubungi ibunya dan menyatakan kesediaannya untuk bertunang dengan Naurah - gadis yang menjadi pilihan ibunya itu pada cuti pertengahan tahun nanti iaitu pada bulan Jun. Tetapi jujurnya, hati Luqman masih tidak dapat menerima keputusannya itu seratus peratus. Hatinya masih ragu. Namun kerana ingin menunjukkan ketaatan dan kepatuhan kepada ibu yang banyak berjasa kepadanya selama ini, dia menurut sahaja kehendak ibunya itu. Hati kecilnya mengatakan biarlah dia terseksa atau terluka, asalkan ibu kesayangannya itu bahagia dan gembira. Baginya tiada yang lebih menggembirakannya selain daripada melihat ibu tuanya itu bahagia.


***

Luqman sedang dalam perjalanan menuju ke surau. Dia yang mengenakan jubah putih dan juga sebuah kopiah putih kesayangannya itu hanya berjalan kaki. Sambil menapak, Luqman sesekali memandang ke arah padang kampus melihat rakan - rakannya sedang sibuk berebutkan sebiji bola. Dia sekadar tersenyum dan menggeleng - gelengkan kepala. Dia memandang jam tangannya, jam sudah menunjukkan pukul enam petang. Sepuluh minit lagi, azan maghrib akan berkumandang. Rakan - rakannya itu kelihatan begitu asyik sehingga tidak mengendahkan waktu maghrib yang semakin hampir. Sebetulnya, dia juga turut sama bermain bola tadi. Tapi sebaik sahaja pukul 5.40 petang, dia naik untuk membersihkan diri dan bersiap - siap untuk ke surau. Terkadang dia terfikir sejenak, apalah ertinya mempunyai tubuh yang sihat dan cergas sedangkan rohani tidak terjaga dan lemah. Baginya kesihatan rohani sama pentingnya dengan kesihatan jasmani. Jika untuk memastikan jasmani sihat, kita perlu mengeluarkan peluh dan bersukan, begitulah juga halnya dengan rohani yang perlu sentiasa dihidupkan dengan berjemaah dan mendengar ceramah - ceramah ilmu di surau - surau, masjid - masjid, dan juga dimana - mana tempat yang menjadi tumpuan umat Islam untuk beribadah.

Semasa sedang menapak melepasi anak bukit menghala ke surau, hatinya tiba - tiba berdebar sebaik sahaja matanya menangkap satu figura yang sedang memakai sepasang tudung berwarna ungu yang beliau sangat cam siapa pemiliknya, sedang berjalan menuju ke arah yang sama dengannya. Gadis yang selalu sahaja mengenakan tudung berwarna ungu itu kelihatan melangkah dengan sopan sambil menundukkan kepala menyebabkan gadis itu tidak menyedari kehadiran Luqman yang hanya kira - kira 10 meter dari tempatnya. Luqman begitu terpana melihat gadis itu. Sejak sebulan yang lepas, Luqman sering sahaja melihat gadis itu. Di kawasan bangunan kuliah, pejabat pengurusan, di dewan makan, dan tentunya di surau. Namun, dia yakin bahawa hanya dia sahaja yang menyedari keadaan itu kerana gadis itu kelihatan bersahaja tatkala berpapasan dengannya. Seperti selalu, jantung Luqman akan berdengup kencang sebaik sahaja melihat gadis itu. Matanya juga kelihatan tidak kuat untuk merenung, kerana Luqman pasti akan menunduk malu jika bertemu dengannya. Sehingga ke hari ini, Luqman masih belum berpeluang berkenalan dengan gadis itu. Luqman juga nampaknya tidak memiliki keberanian yang cukup untuk mendekati gadis berkenaan. Mungkin kerana tidak biasa bergaul dengan wanita ataupun kerana peribadi gadis itu yang dirasakan begitu hebat menyebabkan dia sering sahaja mematikan hajatnya untuk berkenalan. Namun, kala ini Luqman tidak lagi memanggil gadis itu sebagai 'gadis bertudung ungu' kerana dia telah pun berjaya mengetahui nama gadis itu yang sebenar. Aneeqa - begitulah nama empunya badan yang sering sahaja membuatkan hati Luqman gelisah. Nama yang sering membuatkan hatinya bergetar tatkala mendengar nama itu disebut - sebut.

Jarak Luqman dengan Aneeqa - gadis bertudung ungu itu, semakin lama semakin dekat. Hanya beberapa kaki sahaja lagi sebelum mereka bertembung. Tiba - tiba...................

*bersambung

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...