BAB 1 : LANGIT NAN MERAH

Langit mula menjadi kemerahan tatkala sang matahari masuk ke peraduannya. Burung - burung sudah mula berarak terbang ke sarang selepas seharian mencari rezeki di bumi Allah. Bayu bertiup perlahan, menyapa dengan mesra wajah seorang lelaki yang sedang duduk di birai beranda surau An -Nur yang terletak dalam Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, Kota Kinabalu itu. Surau itu terletak di tengah - tengah kampus. Di sebelah kanannya terletak sebuah flat bagi kakitangan kampus manakala di bahagian kirinya pula terdapat sebuah rumah usang yang sudah lama tidak berpenghuni. Rumah yang asalnya dibina bagi kediaman Timbalan Pengarah Kampus itu begitu serabut dengan semak samun yang meninggi. Jika diperhatikan di waktu - waktu senja begitu, kelihatannya amat menyeramkan. Lelaki yang lengkap berpakaian melayu berwarna biru tua yang dipasangkan dengan sepasang kain sarung biru yang bercorak segi - segi dan sepasang kopiah putih itu kelihatannya sedang mengelamun.

Lamunannya tersentak lalu terputus tatkala mendengar suara azan mula berkumandang memecah keheningan senja itu. Beliau melepaskan sebuah desahan kecil lantas bangun lalu masuk ke ruang solat surau. beliau memilih untuk duduk di ruang kiri surau, dibelakang tiang utama berhadapan dengan rak - rak Al Quran. Suara muazzin yang mendayu - dayu baru sahaja habis menjalankan tugasnya, memanggil penghuni - penghuni sekitarnya untuk datang dan menunaikan solat maghrib secara berjemaah. Sejurus kemudian, iqamah pun dilaungkan. Serentak dengan itu barisan saff mula dibentuk dan lelaki itu pun melangkah untuk menyertai barisan tersebut bersama - sama dengan beberapa lagi orang jemaah yang baharu tiba ke surau. Saff diluruskan dan dirapatkan. Imam menoleh sedikit kearah jemaah seraya berkata " rapat dan luruskan saff. Sesungguhnya melurus dan merapatkan saff itu sebahagian daripada kesempurnaan solat ". Lantas satu takbir dilaungkan oleh imam, menandakan bermulanya sebuah proses kerohanian dalam usaha menunjukkan ketaatan dan kepatuhan kepada Sang Rabbul Jalil, Si Pemilik Seluruh Alam Semesta.


***

Usai sahaja halaqoh ilmu dan bacaan Surah Al - Mulk yang menjadi kelaziman bagi setiap jemaah surau setiapkali selesai solat isyak itu, Luqman Hakim- yang merupakan seorang pelajar tahun akhir yang menuntut di IPG Kampus Gaya - masih duduk ditempatnya. Sejak senja tadi hingga ke saat itu, beliau seperti sedang memikirkan sesuatu dan perkara itu tentunya begitu menganggu beliau. Zamree - yang merupakan salah seorang teman baik Luqman, seakan dapat membaca keresahan dan kegelisahan yang terlukis pada wajahnya. Selepas meletakkan mushaf di rak, beliau menuju ke arah Luqman lalu mengambil tempat dihadapannya.

" Kenapa ni, ada masalah ke? " Aju Zamree kepada Luqman. Pendek dan terus sahaja soalan tersebut.

Luqman memandang ke arah Zamree. Cuba menguntum senyuman tapi terasa tawar. Lalu, beliau membuang pandangannya ke arah pintu utama surau. Kosong, semua jemaah agaknya sudah kembali ke kolej kediaman. Atau pun mungkin keluar untuk makan malam.

" Entahlah. Aku rasa macam lain sikitlah malam ni. Macam ada yang tak kena aja.. " Luqman mula bersuara.

" Bagi taulah apa masalahnya. Kalau aku boleh tolong, aku tolong. Kalau tak dapat, aku minta orang lain tolong selesaikannya. " Zamree cuba memujuk temannya itu untuk bercerita dengannya.

" Aku sebenarnya segan nak cerita kat kau.. " kata Luqman sambil melepaskan sebuah keluhan kecil.

Zamree memperkemaskan duduknya. Dia semakin tertarik untuk mengetahui lebih lanjut tentang apa yang bermain dalam kepala teman sekuliahnya itu. Baharu sahaja tengahari tadi dia melihat temannya itu begitu ceria. Bercerita dan bergurau sambil diselang selikan dengan gelak ketawa bersama - sama dengan kawan - kawan di dalam bilik kuliah, sementara menunggu kedatangan pensyarah.

" Kalau aku cerita dengan kau, janji ya yang kau takkan ketawakan aku? " pinta Luqman. Keningnya sengaja diangkat sebelah, meniru gaya penyanyi Ziana Zain atau pun ahli gusti yang terkenal dulu, The Rock.

Zamree tersenyum sambil tertawa kecil. Beliau begitu tercuit dengan gelagat spontan Luqman sebentar tadi. Luqman memandangnya penuh tanda tanya.

" Ai, aku baru minta kau berjanji, kau dah ketawa pulak dengan aku! " Luqman menarik muka empat belas, tanda rajuk. Tawa Zamree semakin panjang biarpun tidak kuat. Tawa yang hanya mereka dua dengar. Zamree sudah dapat membuat hipotesis dalam kepalanya.

Mesti tentang hal itu! Bisik hati kecil beliau. Zamree kemudiannya berhenti tertawa, namun mulutnya masih tak lepas dari tersenyum. Luqman pula agak sedikit tertekan melihat gelagat Zamree yang mengenakan sepasang jubah hitam dan sepotong serban yang diikat kemas ala - ala imam di Masjid Negeri itu - sesuai dengan perwatakannya yang sememangnya sering menjadi imam solat fardhu di Surau An - Nur tersebut.

" Maaf maaf...aku tak dapat tahanlah tengok gaya kau tadi. Yelah, sebelum tu bukan main serius lagi..ni tiba - tiba suruh aku jangan ketawa pulak..aku rasa macam dah dapat agak la apa sebenarnya yang kau nak sampaikan ni..hehehe...tapi apa pun, aku nak dengar dulu dari mulut kau sendiri..aku janji takkan ketawa, ok? "ujar Zamree sambil meletakkan tangan kanannya di pundak kiri Luqman. Dia cuba untuk mengendurkan rajuk rafiknya itu.

Luqman lalu tersenyum keriangan mendengar bicara temannya itu. Dia sememangnya ingin berkongsi sesuatu dengan seseorang. Hatinya sudah tak tertahan lagi menanggung hal itu sendirian. Sekurang - kurangnya, beliau dapat meringankan sedikit bebanan yang ditanggungnya kala itu, di samping mengharapkan temannya itu dapat memberikan beberapa buah pandangan yang boleh membantunya menyelesaikan hal tersebut.

Luqman mendesah. Matanya memandang ke arah Zamree, dan seketika kemudian melarikan pandangannya ke sudut penjuru surau sebelum memandang Zamree semula. Luqman menarik nafasnya. Mungkin cuba membina kekuatan dan keyakinan untuk bercerita. Luqman tersenyum sedikit sebelum memulakan ceritanya.

" Macam ni Zam, beberapa minggu lepas aku rasa ada yang tak kena dengan aku sebenarnya. Mula - mula tu aku tak ambil peduli sangat. Tapi sejak akhir - akhir ni semakin kuat pula perasaan tu mengasak aku. Dan kemuncaknya ialah waktu petang tadi.."

" Apa yang jadi dengan kau sebenarnya? Dan apa yang jadi tadi? " potong Zamree sebelum Luqman sempat menghabiskan ayatnya.

" Ish, sabarlah sikit. Aku baru nak cerita, kau dah potong.." balas Luqman tanda tak puas hati gara - gara Zamree menyampuk cakapnya sebentar tadi.

Zamree tersipu malu lantas tersengih. Nampak sangat yang dia tertarik dengan cerita Luqman. Zamree kemudiannya meminta maaf dan memberi isyarat kepada Luqman agar meneruskan ceritanya.

Luqman menarik nafas panjang, seperti seorang atlet lompat tinggi yang baru ingin memulakan lompatannya. Beliau kemudiannya menyambung...

" Petang tadi, aku................."

*bersambung....



~p/s : Ini merupakan percubaan pertama aku untuk menghasilkan sebuah cerpen bersiri. Tak pernah cuba sebelum ni. Harap - harap korang boleh terima la cerita aku nie..cerita kat atas nie takde kaitan dengan yang hidup atau pun yang dah arwah sama ada dari segi watak ,latar mahupun peristiwa- peristiwa yang berlaku dalamnya. Semuanya merupakan rekaan aku semata - mata..aku sekadar mahu berkongsi dan ingin menyampaikan sesuatu kepada semua pembaca sekalian. harapnya bila dah abis cerita nie nanti, adalah manfaat utk diri kita semua...insyaAllah..amin... :)

1 comments:

Ranz عسران عمر said...

semua cerita, watak, latar merupakan rekaan aku semata - mata. tiada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia..

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...