BAB 3 : GADIS BERTUDUNG UNGU

Luqman benar - benar terkejut. Sebaik sahaja objek berbentuk kubah itu terbelah, didalamnya terdapat seorang pemuda sedang duduk berzikir. Pemuda itu kemudiannya bangun dan melangkah keluar menghala ke arah tempat Luqman berdiri. Pemuda yang hampir sebaya dengan Luqman itu mempunyai wajah yang begitu tampan dan indah, seakan - akan bersinar dan bercahaya. Dia memakai sepasang pakaian putih yang sangat indah. Tanpa disedari Luqman, pemuda itu sudah pun berada betul - betul dihadapannya.

" Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh saudara ku.." Salam dihulur. Lembut dan tenang sahaja. Bibirnya mengukir sebuah senyuman - manis.

Luqman tergegau. Lidahnya kelu. Seketika kemudian baharulah Luqman menjawab salam berkenaan.

" Siapakah engkau? Manusia kah atau jin? " Luqman memberanikan diri bertanya.

Pemuda itu masih tersenyum indah. Dia memang menyangka soalan itu pasti akan meluncur dari mulut Luqman.

" Aku hanyalah manusia biasa. Tetapi Allah S.w.t telah memberikan sedikit kemuliaan ku seperti mana yang kau saksikan. "

" Apakah yang telah kau lakukan sehingga kau beroleh perkara yang menakjubkan ini? " Luqman terus menyoal. Benaknya begitu takjub dengan apa yang berlaku dihadapannya ketika itu.

" Semua kurniaan ini diberikan oleh Allah Azza Wa Jalla kerana amal baktiku kepada kedua ibu bapa ku semasa hayat mereka. Aku memelihara mereka berdua sehingga mereka lanjut usia. Kedua ayah dan ibuku adalah orang yang soleh, mereka sangat takut dan taat kepada Allah. Sejak aku kecil hingga dewasa, mereka memelihara ku dengan baik sekali, mereka juga selalu mendoakan ku agar aku menjadi seorang yang soleh. Bapa ku meninggal dunia dalam usia lanjut semasa dalam pemeliharaan aku dan yang tinggal hanya ibu ku yang sudah tua, lemah dan sakit serta matanya buta dan kakinya lumpuh.."

Pemuda itu menyambung lagi. " Aku satu-satunya orang yang merawat dan menguruskan keperluannya. Aku selalu mengangkatnya untuk mandi dan akulah yang memandikannya. Segala urusan makan dan minum aku uruskan dan akulah juga yang menyuap makanan padanya. Ibu selalu mendoakan supaya aku dikurniakan ketenangan dan kepuasan dalam hidup serta memberikan ku setelah wafatnya sebuah tempat yang bukan di dunia atau pun di langit. Setelah ibu ku wafat, aku berjalan-jalan di tepi laut dan melihat ada suatu kubah dari mutiara. Aku mendekati kubah tersebut dan pintu kubah terbuka. Apabila aku masuk ke dalam, pintu kubah ini tertutup, maka tidaklah aku ketahui sama ada aku berada di bumi atau langit”

" Aku melihat engkau kelihatan muda dan tidak pun terdapat seurat uban di rambutmu. Berapakah usiamu? "

" Aku hidup sejak zaman Nabi Ibrahim lagi. " jawabnya jujur. Luqman tersentak. Andai begitu, tentulah umurnya sudah menjangkau puluhan ribu tahun. Serentak dengan itu, ucapan tasbih meluncur keluar dari mulut Luqman.

" Apakah engkau merasakan nikmat Allah? Bagaimana Allah memberikan rezeki padamu dalam kubah ini? "

Pemuda itu hanya tersenyum. Tiba - tiba Luqman terfikir sesuatu.

" Bolehkah aku melihat apa yang terdapat dalam kubah mu itu? " Luqman bertanya. Separuh mengharap.

Pemuda itu mengangguk perlahan. Dia kemudiannya memimpin Luqman masuk ke dalam kubah tempat tinggalnya. Setelah itu dia pun berdoa kepada Allah lalu suasana di dalam kubah yang gelap tiba-tiba bertukar menjadi terang-benderang. Terkejut Luqman sambil berkata, “Maha suci Allah, Allah Maha Besar”. Satu pemandangan yang tak ada di dunia ini terpampang di hadapannya di mana terdapat pokok-pokok, kebun yang indah, kolam air susu dan madu serta suara-suara yang merdu di dalamnya.

Pemuda itu berkata, " Jika aku lapar, aku makan bermacam-macam buah-buahan yang pelbagai macam cita rasa, semua makanan yang ku ingin akan tersedia dan kalau aku haus, akan tersedia pula bermacam-macam jenis minuman yang paling lazat. "

Luqman bertanya lagi, " bagaimana kamu dapat mengetahui siang atau malam?”

Jawab pemuda itu, "Apabila terbit fajar maka kubah ini akan menjadi putih dan apabila matahari terbenam kubah ini akan menjadi gelap. "

Pemuda itu menyambung lagi. " Cukuplah, sebab saat ini aku harus menghadap kembali pada Allah untuk solat dan zikir, bertasbih dan mensucikan serta memuji kebesaranNya. "

Luqman akur pada permintaan pemuda soleh itu. Luqman melangkah keluar dari kubah tersebut. Seketika kemudian, kubah itu pun tertutup lalu kembali ke tengah lautan sebelum akhirnya tenggelam perlahan - lahan ke dalam perut laut. Luqman masih memandangnya dengan perasaan yang takjub dan hairan. Di benaknya, bersiponggang ayat yang dituturkan oleh pemuda itu sebentar tadi.

" Semua kurniaan ini diberikan oleh Allah Azza Wa Jalla kerana amal baktiku kepada kedua ibu bapa ku semasa hayat mereka." Luqman menangis. Jiwanya menjadi hiba. Hatinya merintih. Tangisannya semakin lama semakin kuat. Luqman seperti tidak beruapaya menahan airmatanya yang tumpah membasahi pipinya. Dia terduduk, kakinya seakan tidak bermaya untuk menanggung beban tubuhnya. Luqman akhirnya tenggelam dalam tangisnya yang panjang...

***


Tiba - tiba, telefon bimbitnya bergetar. Serentak dengan itu suara jam penggera yang datangnya dari telefon bimbit berkenaan berbunyi, menandakan waktu pada ketika itu telah pun masuk ke angka 4.15 pagi. Luqman memang sengaja mengunci waktu berkenaan setiap pagi. Sudah menjadi kebiasaan baginya untuk bangun di kala itu untuk bertahajjud dan sekaligus menunaikan solat subuh. Kerana itu, dia sengaja menguncinya lebih awal daripada waktu subuh masuk.

Astaghfirullahal Adzhim! Luqman sedikit tersentak.. Dia lantas terbangun dari tidurnya . Mimpinya padam. Luqman meraup wajahnya seraya mengungkapkan puji- pujian kepada Tuhan yang masih berkenan menyambung nyawanya. Luqman merasakan tangannya basah. Dia merasa pipinya, ternyata sedikit basah dan ianya berpunca dari arah matanya.

Aku menangis? bisik Luqman. Perlahan otaknya memutarkan kembali peristiwa yang berlaku dalam mimpinya sebentar tadi. Badannya sedikit bergegar, menahan emosi. Jiwanya mula hangat dengan perasaan yang bercampur baur. Sayu, hiba, sedih, dan macam - macam lagi. Apakah maknanya semua ini? Apakah yang ingin disampaikan kepada ku? Bertalu - talu soalan tersebut menerjah fikirannya.

Berkali - kali Luqman melafazkan istighfar. Benaknya ralit memikirkan hikmah disebalik mimpinya itu. Agak lama dia menyandar di katil.

Takpalah, esok kalau ada peluang nanti aku tanyakan pendapat orang lain tentang mimpiku itu. Getusnya. Luqman melirik ke arah skrin telefon bimbitnya. Sudah 4.20 pagi. Melihat waktu yang semakin mapet, Luqman bingkas bangun. Dia mahu meluangkan waktu itu dengan bermunajat dan berbicara dengan Tuhannya. Banyak yang ingin dia adukan kepada Nya. Bagi Luqman, tiada tempat yang terbaik untuk mengadukan segalanya selain dari Nya. Kerana hanyalah Dia sebaik - baik Pendengar dan sebaik - baik Penolong. Sejurus membersihkan diri dan mengambil wuduk, Luqman kemudiannya hanyut dalam munajat bersama Tuhannya.


***

Hari itu hari Isnin. Selepas sahaja perhimpunan bulanan bersama Pengarah Kampus sebentar tadi, Luqman dan beberapa rakan sekelasnya bergegas meninggalkan ruang dewan, lantaran tidak tahan dengan keadaan yang hawa yang hangat akibat ramainya pelajar yang memenuhi setiap inci dewan berkenaan. Ketika sedang mencari 'ruang - ruang' untuk menyelinap, matanya melirik sekilas terhadap seorang gadis bertudung labuh berwarna ungu disebelah kanannya. Wajah gadis itu hanya kelihatan sebelah sisi sahaja. Kepalanya ditundukkan sedikit. Hanya sesekali dia mengangkat kepalanya melihat ke arah hadapan. Mungkin bagi memastikan dia tidak terpisah dari barisan kelasnya. Luqman cuba mengamati wajah gadis tersebut. Serasanya dia tidak mengenali gadis tersebut. Malahan ini merupakan kali pertama dia melihatnya di institut itu. Sedang Luqman sedang asyik memandang wajah yang ayu itu, tiba - tiba sahaja gadis itu menoleh ke arahnya. Mata mereka bertemu. Luqman tepegun. Hatinya mula menjadi hangat. Perlahan ianya menjalar ke arah seluruh wajahnya. Serentak dengan itu, Luqman mengalihkan pandangannya.

Gadis ayu itu turut melakukan aksi yang sama. Dia menunduk. Ada riak malu pada wajahnya. Pipinya yang putih mula memerah. Gadis manis bertudung ungu itu benar - benar dalam keadaan yang sangat malu. Dalam hatinya, ada sedikit kekesalan kerana menoleh ke arah lelaki di sebelahnya sebentar tadi. Sebetulnya, ketika Luqman asyik memandang wajahnya, atmanya menyatakan bahawa ada seseorang yang sedang merenungnya. Kerana itulah dia cuba mengangkat wajahnya dan menoleh ke arah Luqman.

Luqman telah pun berada dalam kelas. Sebentar lagi, sesi tutorial bersama tutor kelas akan bermula. Semua orang di dalam kelasnya sedang melakukan aktiviti sendiri sambil menanti kedatangan tutor mereka. Ada yang berbual, ada yang sedang bergurau senda, malahan ada juga yang mengambil kesempatan untuk makan kerana tidak sempat bersarapan sebelum itu. Luqman hanya duduk di kerusi. Diam. Hanya termenung sendirian. Fikirannya silih berganti. Dia teringatkan mimpinya semalam. Jiwanya masih belum tenang sepenuhnya. Dia perlu meminta pendapat seseorang tentang mimpinya itu.

Yes! Rasanya lebih baik aku minta pendapat Ustaz Iqbal. Tengahari nanti mesti dia ada di pejabatnya. Luqman sudah menemukan orang yang sesuai untuk dia meminta pandangan. Hatinya sedikit lega. Dia pasti Ustaz Iqbal yang mengajar subjek Bahasa Arab itu mesti mampu memberikan pendapat tentang mimpinya semalam. Bibirnya tersenyum sedikit.

Sesaat kemudian, ingatannya memutarkan peristiwa sebentar tadi. Jantungnya sedikit berdebar. Dia teringatkan sekeping wajah milik gadis bertudung ungu yang dia temui sebentar tadi. Hatinya berasa berbunga. Wajah mulus yang memiliki sepasang mata yang cantik dan dihiasi dengan kening yang tebal itu kelihatan begitu indah dan mendamaikan.

Astaghfirullah! Jauhnya aku berangan..Luqman tersedar dari lamunan. Dia mengucap panjang. Dia merasakan dirinya sedang melakukan sesuatu yang tidak baik. Namun, wajah itu seakan tidak mahu lenyap dari ruang ingatannya. Malahan figura wajah gadis manis itu semakin jelas dan melekat kukuh. Luqman warawiri memikirkan gadis itu. Dihatinya, Luqman terasa didesak untuk mengetahui siapakah sebenarnya gadis bertudung ungu itu.

Gadis bertudung ungu? Ya, setakat ini biarlah aku memanggilnya sebagai gadis bertudung ungu..bisik hati Luqman yang disusuli dengan sebuah senyuman yang dia sendiri tidak dapat menafsirkannya...

*bersambung....................

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...