CATATAN LESU PENGHUNI ASING...



Hari ini sudah pun menjangkau hari yang kelima aku berada di IPG bagi menyambung pengajian dalam semester yang terakhir sejak tiba pada hari sabtu yang lepas. Pada hari ini juga, telah pun usai kuliah selama empat hari berturut - turut. Semester ini nampaknya masih juga seperti semester - semester yang lepas, masih padat dengan subjek - subjek yang pada pendapat aku telah bertindan - tindan. Subjek pada semester ini misalnya 'Isu - isu dan cabaran dalam pendidikan' telah pun dipelajari dan merupakan sub topik dalam subjek 'Falsafah pendidikan di Malaysia' pada semester yang pertama dahulu. Diharapkan kementerian akan lebih peka dan teliti dalam menghasilkan kurikulum bagi pengajian kursus PISMP pada masa yang akan datang.

Minggu hadapan dan untuk empat minggu yang seterusnya, aku dan sahabat - sahabat yang seangkatan dalam semester 8 akan menjalani INTERNSHIP di sekolah. Pada mulanya aku menyangkakan bahawa internship ini diwujudkan bagi memberi peluang kepada pelajar tahun akhir untuk menghabiskan dan melengkapkan kajian mereka, tetapi nampaknya sangkaan aku meleset sama sekali. Internship ini penuh dengan tugasan - tugasan yang padat di samping kerja - kerja dokumentasi yang banyak dan menariknya semua ini perlu diselesaikan dalam tempoh yang sangat singkat iaitu sepanjang empat minggu tempoh internship di sekolah. Rasanya, kebanyakan pelajar semester 8 termasuk aku berada dalam keadaan yang agak tekanan dan sedikit rimas dalam tugasan - tugasan yang bakal kami harungi sepanjang semester ini. Walaupun begitu, kami semua tetap bersemangat untuk menghabiskan semseter ini dengan jayanya kerana ini merupakan semester yang terakhir dan genting bagi kami. Kami perlu melakukan sebaik dan secemerlang mungkin semua tugasan yang diberikan, sekalipun kami mungkin perlu berkorban masa, tenaga, dan wang yang banyak. Untuk teman - teman seperjuangan aku, semoga berjaya dan semoga semuanya berjalan dengan lancar sepanjang semester ini.

INTERNSHIP...??
ASRAN O

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...