KEHIDUPAN, UJIAN, CABARAN, HIDAYAH DAN........

Kehidupan manusia di dunia ini bolehlah diibaratkan seperti seseorang yang sedang berdayung dalam sebuah sampan bagi menyeberangi sebatang anak sungai yang deras. Hakikat tujuan manusia itu menaiki sampan tersebut adalah untuk menuju ke seberang sungai. Kebanyakan manusia yang menaiki sampan yang elok dan baik, pasti akan dapat menyeberangi sungai itu sekalipun berhadapan dengan arus yang deras. Namun tidak kurang juga, ada yang akan hanyut dan ada juga sampan yang terbalik dek kuatnya arus yang menimpa sampan berkenaan. Seseorang pendayung yang baik mestilah mempunyai ilmu dan kefahaman yang tinggi dalam menghadapi dan mengawal keadaan arus yang deras itu. Tanpa ilmu, perjalanan itu akan pasti menemui kegagalan. Bagi yang bernasib baik, sekalipun sampan telah diterbalikkan oleh arus yang deras, pasti ada tangan - tangan yang menghulurkan tali sebagai bantuan bagi mengelakkan diri daripada hanyut dan tenggelam di dalam sungai. Manusia yang waras pasti akan menarik dan menggenggam tali itu sekuat hati kerana mereka menyedari hakikat bahawa sekiranya mereka tidak mengambil peluang itu, maka mereka akan menemui ajal.



Begitulah perumpamaannya kaitan kehidupan, ujian, cabaran, iman dan hidayah bagi manusia. Batang sungai digambarkan sebagai kehidupan di dunia manakala arusnya yang deras pula dikaitkan dengan ujian, cabaran, tipu helah dan fitnah dunia yang akan sentiasa mempengaruhi dan memperdayakan manusia tanpa henti. Sampan bolehlah kita ibaratkan sebagai iman yang menjadi benteng dan perisai bagi mengelakkan kita daripada hanyut dan tenggelam dalam kehidupan dunia yang penuh pancaroba. Akhir sekali, tali penyelamat yang dihulurkan tatkala terdapat manusia yang terjatuh dan hanyut dalam sungai merupakan kiasan kepada hidayah daripada Allah SWT. Hidayah Allah SWT pasti akan datang menyapa sesiapa sahaja yang memerlukannya tanpa kita mengetahui bila akan datangnya saat itu.
Hidayah ataupun pertolongan daripada Allah SWT tidak akan datang selalu, kerana itu sebaik sahaja diri kita disapa oleh sentuhan hidayah Allah, maka pegang dan ikatkanlah diri kita dengan sekuat dan seutuhnya. Pastikan genggaman kita kuat kerana jika tidak, pasti kita akan terus hanyut dan tenggelam dalam arus yang deras sebelum sempat tiba di seberang sungai. Manusia yang angkuh dan lalai, adalah seperti manusia yang tidak mahu bantuan daripada sesiapa saat dia hanyut di sungai. Dia merasakan yakin dan percaya dengan kehebatan yang berenang bagi menyelamatkan diri dan merasakan dirinya tidak memerlukan bantuan sesiapa pun. Percayalah, sehebat mana pun kemahiran kita berenang, pasti kita akan merasa letih dan penat ketika melawan arus yang sangat deras. Lambat laun kita pasti akan tenggelam jika kita tidak sempat berpaut pada sesuatu. Manusia seperti inilah yang selalu melambat - lambatkan taubat dan selalu membiarkan hidayah Allah berlalu pergi tanpa berbuat sesuatu. Mereka beranggapan bahawa hidayah Allah akan menyapa mereka berulang kali dan mereka boleh bertaubat apabila sudah puas dengan kemaksiatan yang mereka lakukan. Golongan ini merupakan golongan yang leka dan tertipu dengan hasutan dan pengaruh dunia. Celakalah bagi sesiapa yang menurut hawa nafsunya dan membelakangkan hidayah Allah SWT. Nau'zubillahi min zalik...Semoga kita mengambil pengiktibaran.


" DAN BERPEGANG TEGUHLAH KAMU SEMUANYA PADA TALI ( AGAMA ) ALLAH, DAN JANGANLAH KAMU BERCERAI - BERAI...) A'LI 'IMRAN : 103

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...