DOA HARAPAN KU PART 1

Malam kian larut..aku baru saja balik daripada bilik sahabat aku selepas berbincang mengenai aktiviti berkaitan usrah dan program - program lain yang bakal dilaksanakan dalam bulan ni. Mata aku dah mula kuyu, namun hati ku membuak - buak mahu menulis dalam ruangan ini. Entah apa mimpinya sehingga aku sanggup bersengkang mata sampai ke saat ini sekadar untuk menulis sesuatu. Kerja - kerja aku sebagai guru kelas dan pelatih internship berlambak menunggu giliran untuk diselesaikan namun aku tidak punya kekuatan untuk melayan kerja - kerja tersebut.

Malam ni dengan ditemani oleh lagu - lagu nasyid yang diputarkan menerusi komputer riba aku, aku sebenarnya sedang berperang dengan pelbagai perasaan. Minggu ini rasanya pelbagai kejadian menimpa aku dan kesemuanya berkait rapat dengan perasaan. Terkadang aku pelik dengan sifat manusia yang punya pelbagai perasaan sehingga kadang kala manusia sendiri tidak mampu mengenalpasti apakah perasaan yang sedang mereka rasai. Contoh yang paling terdekat ialah diri aku sendiri. Di kala ini, aku sendiri sukar untuk mentafsirkan apakah sebenarnya yang berlaku dalam hati aku. Perasaan aku sangat bercampur baur. Marah, sedih, kecewa, mahu, rindu, sayang, gembira dan pelbagai lagi perasaan sedang bermain - main dan seakan -akan seperti ingin menjadikan hati aku keliru dengan perasaan - perasaan itu semua.

Antara kejadian yang paling mencabar bagi aku ialah apabila mendapat suatu berita yang telah lama aku jangkakan akan pasti berlaku kepada diri aku. Namun aku tidak menjangkakan untuk mendengar berita itu sepantas ini. Berita itu membuatkan selera makan aku terputus waktu itu juga, dan aku merasakan suatu aliran darah yang terlalu deras sedang menghala ke jantung menyebabkan aku merasa kehilangan sedikit oksigen di otak. Kesannya, aku merasakan hampir pitam dan kepala aku berdenyut - denyut kesakitan. Lidah aku menjadi kelu, perasaan aku menjadi kosong, kelakuan aku menjadi tidak tentu hanya disebabkan sepotong berita yang aku dengar. Malam kejadian itu, aku lebih banyak berdiam diri dan menghabiskan masa dengan berbaring kerana aku sperti tidak bermaya untuk melakukan sesuatu.

Malam itu hanya Allah yang tahu perasaan ku. Betapa lemah dan tidak berdayanya aku kala itu. Dalam keadaan seperti itu, aku memerlukan seseorang yang boleh memberikan sedikit ketenangan dan kelegaan kepada ku. Aku meletakkan semua harapan dan doaku kepada Allah agar mengutuskan seseorang bagi menyiram gelojak jiwa yang aku hadapi kala berkenaan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...