HANYA TUHAN YANG TAHU

Hari kelmarin telah diadakan satu gotong royong membersihkan surau dan kawasan sekitarnya anjuran PGPI. Tahniah diucapkan kepada semua ajk yang bertungkus lumus membuat persediaan dalam memastikan segalanya berjalan dengan lancar. Namun aku agak sedikit terkilan dengan jumlah kedatangan yang nampaknya masih lagi di takuk lama. Kehadiran kawan - kawan dari batch aku sendiri agak mengecewakan. Mungkin kerana ada yang pergi ke sekolah untuk pelbagai aktiviti. Hmmm....

Aku tidak ingin menyentuh mengenai perjalanan gotong royong kelmarin ataupun mengenai sambutan para pelajar dan sebagainya. Yang ingin aku tulis disini ialah mengenai perasaan yang terbit dalam diri aku sewaktu bergotong royong kelmarin. Ketika aku berehat melepaskan sedikit lelah seusai mengangkat dan mengeluarkan beberapa barangan daripada dapur surau, aku merenung ke arah sekeliling surau dengan pandangan yang agak bercampur baur. Di surau inilah aku mengenang pelbagai kisah suka duka dalam usaha berbakti kepadanya. Dapur surau yang sedang aku bersihkan sebentar tadi menyimpan pelbagai kisah. Di dapur inilah aku dan beberapa lagi sahabat - sahabat jemaah surau memasak nasi dan sardin untuk dijadikan makan malam sewaktu kekeringan kewangan akibat elaun belum keluar. Nasi dan sardin akan dihidangkan didalam dulang besar. Semua makan bersama. Betapa indah dan meriahnya waktu itu.



Di dapur ini jugalah aku mula mengaturkan urusan yang berkaitan moreh sewaktu bulan ramadhan sejak bulan ramadhan yang pertama aku sambut di IPG ini iaitu ketika tahun 2005 yang lepas. Dan jika Allah mengizinkan umur yang panjang bagi ku untuk sampai ke bulan ramadhan tahun ini, maka genaplah 5 tahun setengah aku bertugas memastikan perjalanan moreh sekalipun bukan secara langsung. Ku perhatikan kawasan sekeliling surau, hatiku agak sayu dan sedikit beremosi. Kerana aku menyedari hakikat bahawa tahun ini merupakan tahun terakhir bagi aku menjadi jemaahnya. Kebanyakan orang mungkin tidak merasakan apa - apa ketika meninggalkan surau an nur ini, tapi bagi aku surau ini sangat banyak jasanya kepada ku. Surau inilah yang mencorakkan keperibadian ku sepanjang berada di IPG Kampus Gaya ini. Aku hampir - hampir menitiskan airmata sewaktu merenung ke arah surau yang sangat aku sayang ini. Segala pengalaman dan kenangan bersama - samanya akan aku simpan sebagai kenangan yang terindah dalam hidupku. Ketika aku duduk dan merenung itu, hanya tuhan saja yang tahu betapa sayunya hatiku. Sekiranya aku diberi pilihan, tentunya aku takkan melepaskan surau ini. Aku mahu terus berada disisinya, menjadi jemaahnya dan terus berbakti kepadanya. Namun, itu pastinya sekadar angan - angan ku semata kerana hakikatnya setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Dan perpisahan aku dengan surau an nur semakin menjelang tiba. Sebuah perpisahan yang membawa pelbagai kenangan suka duka ketika masih bergelar pelajar.

Sebelum aku betul - betul menitiskan airmata, aku cepat - cepat bingkas bangun dan meneruskan kerja - kerja aku yang aku tinggalkan sebelum itu. Aku tidak mahu sesiapa pun menyedari apa yang sedang berlaku dalam diri aku kelmarin. Biarlah masing - masing leka dengan tugas sendiri . Nanti susah pula hendak aku terangkan sekiranya ada sesiapa yang terlihat aku menitiskan airmata. Biarlah hanya tuhan saja yang tahu...cukuplah Allah sebagai saksi kesayuan dan kesedihan hati ku waktu itu..

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...